KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melantik Amir Hamzah Azizan sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 2 April ini.
TNB dalam kenyataan di Bursa Malaysia berkata, Amir Hamzah bakal menggantikan Datuk Seri Ir. Azman Mohd. yang meletak jawatan berkuat kuasa 31 Mac ini.
Syarikat utiliti nasional itu berkata, Lembaga Pengarah menerima persetujuan Pemegang Saham Istimewa, Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MoF Inc.) yang meluluskan pelantikan Amir bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 2 April 2019 hingga 1 April 2022.
“Amir merupakan CEO Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn. Bhd. sejak tahun 2017 sehingga kini, malah pernah menyandang jawatan Naib Presiden (Perniagaan Pelincir), Petroliam Nasional Bhd. selain Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif UEM Edgenta Bhd..
“Beliau memiliki Sarjana Muda Ijazah Sains dalam Pengurusan (pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi) daripada Syracuse University, New York.,” katanya di sini semalam.











