KUALA LUMPUR 6 Mac – Saban tahun fenomena pemain bola sepak tidak dibayar gaji dan masalah kewangan persatuan bola sepak berulang, seterusnya memalukan arena sukan khususnya bagi bola sepak di persada antarabangsa.
Ia jelas bukan sahaja senario yang dibenci semua pemain, jurulatih, penyokong, peminat luar, malah pasukan-pasukan bertanding, kerana ia memberi gambaran buruk terhadap imej liga selain merencatkan perjalanannya jika saingan telahpun bermula.
Amat mendukacitakan apabila penceritaan di atas mencerminkan ‘ekosistem’ kancah liga nombor satu negara, Liga Malaysia (Liga-M) yang meskipun berstatus profesional sejak lebih 20 tahun lepas, namun, setiap musim peminat disajikan dengan masalah kewangan pasukan bertanding.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, setiap pasukan harus mengamalkan budaya ‘mengukur baju di badan sendiri’ dalam hal ehwal kewangan terutama apabila melibatkan urusan pembelian pemain selain penetapan jumlah gaji pemain.
“Faktor kewangan adalah kriteria utama buat pasukan yang bersaing dalam Liga-M. Bila pengurusan bijak dalam menguruskan kewangan, perkara sebegini (isu kewangan dan tunggakan gaji) tidak akan timbul dan lebih penting masa depan pemain dan pegawai terbela,” katanya kepada Bernama.
Bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mencadangkan pasukan mengalihkan tumpuan terhadap kumpulan pemain pelapis untuk mengurangkan bebanan pembayaran gaji.
Selain penawaran gaji lebih rendah dan kelebihan prestasi dimiliki pemain muda masa kini, Akmal Rizal, 37, berkata, langkah itu juga dapat membuka peluang pasukan menjana kewangan pada jendela perpindahan sekiranya pemain itu berjaya menarik minat pasukan lain.
“Kalau ikutkan nak bentuk sebuah pasukan mantap memang perlu kewangan yang kukuh tetapi jika tidak, janganlah berbelanja melebihi kemampuan. Kalau rasa tidak mampu beli pemain bintang dan bayar gaji tinggi, gunakan khidmat pemain muda yang berpotensi besar untuk menyerlah.
“Walaupun langkah itu mungkin menjejaskan prestasi pasukan 2 hingga 3 tahun pertama, apabila pemain sudah matang hasilnya akan dapat dilihat dan pasukan juga boleh menjana pendapatan tambahan menerusi penjualan pemain,” jelas pemain yang membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia pada 2010 itu. – BERNAMA











