TURIN 12 Mac – Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri menegaskan kebolehan Cristiano Ronaldo menjaringkan gol sebanyak yang mampu merupakan kelebihan kepada juara Itali
itu dalam aksi timbal balik kalah mati Liga Juara-Juara di Stadium Allianz awal pagi esok (waktu Malaysia).
“Cristiano mempunyai banyak gol di kakinya, dia seorang pemain yang boleh menjaringkan gol dengan banyak dalam Liga Juara-Juara dan perlawanan seperti ini pasti dia berasa
teruja dan bersemangat sekali gus memberi kelebihan kepada kami,” kata Allegri.
Ronaldo mencipta rekod apabila meledak 121 gol dan menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan berprestij di Eropah itu selama enam musim berturut-turut.
Pada musim ini, penyerang Portugal itu hanya menjaringkan satu gol malah turut digantung satu perlawanan setelah menerima kad merah ketika bertemu Valencia dalam aksi
kumpulan.
“Saya yakin 200 peratus bahawa Cristiano akan bermaksi seperti Cristiano. Tiada seorang pun dalam kalangan kami fikir ia mustahil,” kata kapten Juventus, Giorgio Chiellini
yang akan membuat penampilan ke-500 bersama kelabnya.
Bagaimanapun, tugas berat menanti Ronaldo bersama pasukannya memandangkan benteng pertahanan Atletico cukup ampuh dalam kejohanan tersebut.
“Atletico tidak bolos dalam lima perlawanan dan itu petanda yang baik sekali gus membuat kami berasa cukup yakin. Dalam 10 tahun terakhir (Atletico) antara kelab terkuat
di Eropah. Mereka memenangi tiga kali Liga Europa dan kami perlu menyamai tahap tersebut.
“Kami percaya kami mampu mengubah keputusan. Kami perlu faham apa yang perlu dilakukan, kami perlu tenang dan mengekalkan komposisi permainan untuk mendapatkan keputusan.
Perlawanan ini pasti menarik,” kata Allegri lagi.
Martin Caceres dan Leonardo Spinazzola boleh menggalas tanggungjawab di bahagian pertahanan selepas Mattia De Sciglio dan Andrea Barzagli cedera manakala Alex Sandro
digantung perlawanan. – AFP











