KATA orang tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Begitu juga dengan soal rezeki yang telah ditentukan.
Bagi pelakon jelita Hanez Suraya atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 34, dia bersyukur dengan rezeki melimpah ruah yang diperoleh meskipun sudah empat tahun tidak aktif berlakon.
Pada awal perkahwinan dahulu, hati Hanez pernah memberontak kerana tidak diizinkan berlakon oleh suami yang mahukannya fokus kepada rumah tangga.

Walaupun dia sangat merindui bidang lakonan ketika itu, kerana taat kepada suami, Hanez percaya dan yakin hikmah pasti menyusul selepas itu.
Jika dilihat, selepas berkahwin Hanez menjadi ‘ibu segera’ kepada dua orang anak Romie bersama bekas isteri iaitu Putra Adreeshah, 13, dan Putra Rayqarl Shah, 9. Kemudian pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan iaitu Putri Aleesya yang kini berusia tiga tahun.
Sekarang Hanez hamil enam bulan dan dijangka bersalin pada hari raya nanti.
Tidak cukup dengan itu, kini Hanez semakin aktif berniaga dan dilantik menjadi duta produk kecantikan Deeja Cosmetic.
Hanez yakin dan percaya, rezeki tersebut hadir kerana kepatuhannya kepada si suami.
Sabar membuah hasil
Kata orang, sabar itu indah. Hanez mengaku hidupnya semakin bahagia sekarang walaupun pernah diuji dengan dugaan besar sebelum berkahwin dengan Romie.
Kepatuhan terhadap suami yang tidak membenarkannya berlakon juga dianggap satu hikmah yang tidak disangka-sangka.
“Biasalah.. saya selalu sibuk dengan berlakon. Bila tidak berlakon saya rasa janggal sikit. Rasanya kebanyakan orang akan mengalami apa yang saya rasa jika mereka tidak lagi melakukan aktiviti yang menjadi kebiasaan. Apa-apa pun saya sedar selepas berkahwin suami dan anak-anak adalah keutamaan.
“Saya juga akui suami mahu saya fokus rumah tangga kerana dia mahukan yang terbaik buat kami sekeluarga. Dalam masa yang sama, dia tidak mahu mengecewakan saya dengan memberi peluang saya menceburi bisnes menjual tudung jenama EverydayKL dan ikan bilis yang diberi nama Sambal Ikan Bilis Mak Oden.
“Lama-kelamaan saya semakin seronok berniaga sehingga lupa hasrat mahu kembali berlakon. Bila difikirkan balik, pandai suami saya merencanakan sesuatu buat saya.
“Saya melihat ini adalah hikmah kepatuhan saya kepada suami agar mendahulukan soal rumah tangga,” luah Hanez yang juga dilantik sebagai duta produk sejurus disahkan mengandung anak kedua.
Rezeki anak
Hanez menganggap itu semua adalah rezeki anak.
“Tanpa disangka-sangka, keseronokan bisnes tudung semakin berganda-ganda apabila saya kini dilantik sebagai duta produk Deeja Cosmetic selama setahun. Nak tahu, saya ‘dirisik’ untuk menjadi duta beberapa hari sebelum disahkan hamil anak kedua.
“Mulanya saya risau juga jika kehamilan ini akan mengganggu promosi produk. Namun, pengasasnya memahami keadaan saya dan bersetuju melantik saya sebagai duta meskipun sedang hamil. Saya percaya, inilah dikatakan rezeki anak.
“Kebahagiaan rumah tangga serta rezeki murah yang dikecapi ini membuatkan saya lebih dekat dengan Allah. Segala ujian dan dugaan yang menuntut kesabaran tinggi selama ini, hikmahnya datang satu persatu tanpa diduga. Perancangan Allah itu memang hebat.
“Jadi saya selalu bermuhasabah diri agar sentiasa mematuhi arahan suami dan percaya di sebalik yang berlaku pasti ada hikmahnya,” kata Hanez dengan nada gembira.
Tidak rampas kedudukan Sherry Ibrahim
Dalam kegembiraan menjadi duta, satu kegusaran timbul di hati Hanez apabila ada pihak mendakwa kononnya dia merampas kedudukan Sherry Ibrahim sebagai duta produk kecantikan itu sebelum ini.
“Sejujurnya tiada istilah rampas dalam hal ini. Ini semua soal rezeki. Apa yang saya faham, Sherry sudah tamat kontrak sebagai duta. Pihak kosmetik sendiri bertanya dan merisik saya untuk menjadi duta baharu mereka. Saya terima dan anggap itu rezeki saya yang sedang hamil.
“Walaupun saya sudah lama tidak berlakon, namun mereka masih percayakan saya. Saya seronok berkongsi kebaikan produk ini setelah berkesan pada kulit muka saya.
“Ingin saya tegaskan sekali lagi, ini semua soal rezeki. Kalau bukan saya jadi duta pun, mungkin ia menjadi rezeki orang lain. Akan datang, saya tidak boleh halang andai pihak kosmetik mempunyai pilihan lain sebagai duta. Itu hak mereka.
“Sebelum ini, ketika Sherry masih menjadi duta mereka, saya memang ada mempromosinya selama setahun kerana kesannya memang bagus.
“Sebabnya sebelum ini saya ada masalah kulit wajah, jadi mereka memberikan produk tersebut secara percuma untuk saya cuba. Apabila kesannya positif mereka minta saya promosi dalam laman sosial.
“Saya pernah turun padang bersama peminat di negeri-negeri Pantai Timur atas permintaan mereka.
“Pendek kata, kami pernah bekerjasama sebelum saya dilantik sebagai duta lagi,” jelas Hanez yang berharap isu ini tidak diperbesarkan kerana dia tidak mempunyai masalah dengan Sherry.
“Saya dan Sherry tidak pernah ada masalah. Kalau ada yang nak kaitkan kami, itu mungkin mereka sengaja mahu buat cerita. Saya tidak boleh menghalang apa orang nak cakap. Sebagai artis, saya yakin Sherry juga faham dan profesional dalam berhadapan dengan semua ini,” kata Hanez.
Aleesya lebih rapat dengan Romie
Di sebalik berita gembira hamil enam bulan, Hanez berkongsi kerenah anaknya Putri Aleesya yang lebih rapat dengan ayahnya.
“Sebelum ini Aleesya memang rapat dengan saya. Namun, dia lebih selesa bersama ayahnya semenjak saya mengandung. Mungkin dia rasa cemburu sebab akan dapat adik nanti.
“Apa yang boleh saya cakap kami tidak serasi seperti dulu. Apa pun saya percaya situasi ini hanya sementara sahaja.
“Bila kandungan saya sudah masuk enam bulan, dia mula bertanya pasal adik. Nampaknya dia sudah bersedia untuk jadi kakak. Putra dan Rayqarl pun teruja untuk dapat adik,” cerita Hanez yang belum mendapat keputusan jantina anaknya kerana masih samar-samar ketika dibuat ujian pengimbasan bayi.
Alami gangguan cemas melampau
Hanez mengakui mengalami kebimbangan melampau atau anxiety selepas melahirkan Putri Aleesya.
Perasaan cemasnya wujud secara tiba-tiba apabila berhadapan dengan masakan yang berunsurkan ayam.
Justeru, selama dua tahun sehingga ke hari ini Hanez tidak pernah makan ayam lagi.
“Entah kenapa secara tiba-tiba sahaja saya tidak boleh makan ayam. Ia berlaku tanpa saya sedari. Sudah lebih dua tahun saya mengalami kebimbangan yang melampau ini.
“Mungkin juga banyak resipi berasaskan ayam yang dijual di restoran kurang meyakinkan saya. Iyalah…banyak ayam sekarang disuntik dan diragui kualiti kesihatannya apabila dimakan.
“Mujurlah anak-anak pun kurang makan ayam. Jadi tidaklah saya rasa bersalah apabila tidak masak ayam. Saya lebih banyakkan masak ikan untuk keluarga. Ia lebih selamat,” kata Hanez dengan jujur.











