DUNGUN 8 Mac – Bunyi alat penggera berjaya menggagalkan cubaan seorang lelakI dipercayai penagih dadah untuk mencuri kabel di sebuah menara pemancar telekomunikasi di Bukit Besi dekat sini sebelum suspek berjaya diberkas semalam.
Suspek berusia 40 tahun itu dicekup kira-kira pukul 3.45 pagi oleh tiga anggota polis yang turut diiringi seorang penyelia syarikat berkenaan yang menyedari tindakan lekaki terbabit.
Sebelum itu, semasa berada di rumah di Kuala Abang dekat sini, penyelia itu tiba-tiba mendapati alat pengera berbunyi menandakan berlaku pemotongan kabel di kawasan pemancar di Bukit Besi.
Berikutan itu penyelia tersebut segera menghubungi Balai Polis Bukit Besi mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan selepas itu suspek berjaya ditangkap.
Difahamkan, polis turut menemukan kabel yang dicuri serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil pemeriksaan mendapati enam unit feeder kabel telah dipotong dan dicuri suspek.
“Setiap kabel dipotong sepanjang 40 meter dan akibat kejadian itu jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM22, 500,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek juga positif dadah jenis heroin dan dia ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











