CAPE TOWN 4 Mac – Pemain kelab divisyen satu Gabon, Herman Tsinga meninggal dunia selepas rebah ketika sedang beraksi dalam perlawanan bola sepak di Libreville, lapor media tempatan hari ini.
Tsinga, penyerang Akanda FC rebah pada minit ke-23 ketika sedang menentang Missile FC dalam perlawanan liga domestik, Sabtu lalu, lapor akhbar harian The Union.
Menurut The Union, pemain berusia 30 tahun itu menerima rawatan ‘kardiac’ oleh doktor tentera namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Satu video amatur di Twitter menunjukkan suasana kelam kabut selepas Tsinga rebah di tengah padang.
Menurut The Union, ambulans yang ada di tempat kejadian tidak mempunyai topeng oksigen yang sesuai untuk menyelamatkan nyawa pemain itu.
Kematian tersebut adalah yang ketujuh dalam sejarah bola sepak Gabon sepanjang tempoh 12 tahun.
Perlawanan itu adalah sebahagian daripada pusingan kedua liga yang disambung semula selepas terhenti lapan bulan dan dibiayai Syarikat Minyak Gabon. – AGENSI











