Agong zahir takziah, simpati pemergian Muhammad Haziq - Utusan Malaysia

Agong zahir takziah, simpati pemergian Muhammad Haziq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan takziah dan simpati kepada ke­luarga remaja Malaysia, Allahyarham Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi yang terkorban serta tiga lagi rakyat Malaysia tercedera dalam insiden tembakan di Christ­church, New Zealand, minggu lalu.

Dalam masa yang sama, Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan hasutan berunsur kebencian yang disebarkan melalui pihak tidak bertanggungjawab termasuk menggunakan alasan kebencian terhadap ajaran Islam dan penganutnya.

Jelas beliau, Seri Paduka bertitah, tiada agama yang mendorong penganutnya untuk mengamalkan sebarang bentuk keganasan terhadap individu lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

‘‘Seri Paduka juga menasihatkan supaya rakyat Malaysia menghormati perasaan dan memberikan sokongan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam mengharungi ujian ini,’’ katanya menerusi kenyataan Istana Negara di sini hari ini.

Muhammad Haziq, 17, merupakan seorang daripada 50 mangsa yang maut dalam kejadian tragis semasa solat Jumaat di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, Christchurch, minggu lalu.

Muhammad Haziq merupakan anak kedua Mohd. Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor manakala seorang lagi anaknya, Mohd. Hariz terselamat.

Sementara itu, Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan terutamanya kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof atas perhatian yang diberikan dalam mengendali insiden berkenaan.

Katanya, Seri Paduka bertitah ia termasuklah tindakan menghantar pegawai kanan dari Kementerian Luar dan pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington untuk berada di Christchurch bagi menghulurkan bantuan sewajarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini