Agenda ekonomi bumiputera, integrasi nasional - Utusan Malaysia

Agenda ekonomi bumiputera, integrasi nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG Bengkel Masa Depan Bumiputera dan Negara 2019 (Bengkel MBN 2019) sebagai susulan kepada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018) yang dianjurkan oleh MEA pada 1 September 2018, pastinya tumpuan seluruh negara kepada apakah agenda baharu ekonomi Bumiputera yang akan dibawa oleh Kerajaan PH.

Para pemerhati dan penggiat politik di kedua-dua belah pihak tembok pemisah politik pastinya akan menunggu apakah isu yang boleh mereka politikkan?

Bagi pemain industri pula, apakah joran, ikan atau umpan yang akan dilambakkan oleh kerajaan di bengkel itu nanti untuk mereka pilih.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atau, adakah mereka sendiri yang akan membawa joran dan umpan masing-masing, ke bengkel ini untuk sama-sama memancing. Saya pula menunggu ketibaan bengkel itu dengan satu harapan baharu.

Berdasarkan pengamatan dan pergaulan saya dengan para pemain industri dalam kalangan Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB) yang merangkaikan jaringan mereka menerusi 20 Kluster Ekonomi di MPM, saya dapat rasakan denyutan satu gerakan baharu dalam kalangan mereka.

Sayugia dimaklumkan, ramai daripada mereka itu bukan pendatang baharu dalam dunia bisnes dan bukan semua mereka ini dalam kalangan usahawan yang selama ini menagih projek atau kontrak kerajaan.

Apabila kami gariskan lima pasak ekonomi yang wajar mereka terapkan dalam merencana inisiatif ekonomi yang akan dibangunkan, mereka setuju, terima dan sedar bahawa agenda ekonomi yang akan dihambat bukan semata-mata berteras kepada pembangunan dan kemajuan.

Tetapi ia lebih kepada peranan mereka dalam merencana agenda kemakmuran negara dan rakyat. Kemakmuran yang dimaksudkan ialah paduan di antara kekayaan kebendaan dan kesejahteraan (prosperity = wealth and wellbeing).

Lima pasak ekonomi yang dimaksudkan ialah:

  • Pewujudan peluang pekerjaan, kepada rakyat negara ini yang memilih untuk menceburi dunia pekerjaan.
  • Pewujudan peluang bisnes, kepada mereka yang memilih untuk menceburi dunia bisnes.
  • Pewujudan peluang pemilikan ekuiti, dalam pelbagai bentuk, termasuk wakaf.
  • Sumbangan kepada kesejahteraan rakyat, terutama dalam menangani kos sara hidup
  • Dorongan untuk pemain industri bumiputera ke persada global, kerana pasaran domestik terlalu kecil untuk mereka kembangkan bisnes masing-masing.

Maknanya, dalam mereka merencana kemajuan inisiatif ekonomi masing-masing, mereka digalakkan ‘sambil menyelam sambil minum air’.

Mereka juga perlu memberikan sumbangan kepada kemakmuran dan integrasi nasional menerusi bisnes masing-masing.

Mari kita semua renung kembali kepada tema Kongres KBN 2018 itu; Masa depan Bumiputera dan Negara. Ia direncanakan sedemikian oleh kerajaan, bahawa masa depan Bumiputera menjamin masa depan negara.

Apabila tema kongres itu dikaitkan dengan lima pasak ekonomi yang disyaratkan, secara langsung dan tidak langsung kerajaan menaruh harapan yang tinggi kepada Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB) untuk menyumbang kepada kemakmuran dan masa depan negara, termasuklah sumbangannya kepada agenda integrasi nasional.

Betul, akan ada yang meraguinya kerana KEB masih belum menguasai ekonomi negara. Bagi saya, tidak bermakna KEB belum menguasai ekonomi negara maka mereka belum layak atau belum bersedia menerajui usaha mencorakkan masa depan negara.

Tidak perlu rasanya untuk kita menunggu masa apabila sudah ada banyak dalam kalangan KEB berstatus konglomerat global, baru boleh mereka menerajui usaha ini.

Pada hemat saya, bilangan yang ada kini sekalipun masih kecil, sudah memadai untuk mereka itu menggalas peranan dan tanggung-jawab ini.

Pemimpin politik wajib yakin kepada kemampuan mereka, kerajaan wajib yakin kepada kebolehan mereka dan pemain industri sendiri wajib percaya dan bersedia menggalas tanggungjawab. Ia bukan sekadar harapan, ia satu aspirasi yang murni.

Umum tidak mengetahui, sebelum itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad memikirkan tema Kongres itu sebagai ‘Kongres Ekonomi Rakyat’.

Maknanya, apabila beliau memilih untuk menukar tema kongres itu, dalam hati kecil beliau sebenarnya telah terpahat keyakinan bahawa KEB telah bersedia dan mampu mencorakkan masa depan mereka dan negara.

Justeru, setelah berselang lebih tujuh purnama dari tarikh Bumiputera berkongres di KBN 2018 itu, tiba masanya, sempena Bengkel MBN 2019 yang dirancangkan April 2019 atau sebelum menjelang Ramadan 1440 H ini.

Semua kelompok institusi ekonomi di negara ini, baik dalam kalangan MNC, PLC, GLC, GLIC, Koperasi, Institusi Ekonomi Islam Persekutuan dan Negeri dan dalam kalangan PKS, wajar hadir sama sertai Bengkel MBN 2019 ini.

Malah, jika ada dalam kalangan institusi ekonomi bukan-bumiputera yang komited hadir sama, eloklah digalakkan mereka berbuat demikian.

Pada hemat saya, tidak salah jika mereka ikhlas, komited dan sudi bersama merencana bagaimana hendak laksanakan agenda ekonomi dan kemakmuran negara diterajui bumiputera.

Tidak berdosa kita mengembalikan semangat ekonomi ali baba dalam semangat baharu, mengembalikan semangat kesepakatan ekonomi ali baba yang asal diwarisi oleh datuk-nenek kita. Apa pun, kepada KEB di seluruh negara, sayugia kami berkongsi dalam rencana ini mengenai persiapan di MPM sebaik selepas KBN 2018 itu.

Kami sudah bersidang beberapa kali bagi membuat perancangan menyediakan inisiatif bisnes yang ingin kami bawa ke Bengkel MBN 2019 untuk dikongsi bersama dengan lain-lain KEB, tak kira dari pelosok mana sekalipun mereka datang. Kesemua inisiatif bisnes itu bersifat platform-based, maka ia sesuai divendorkan.

Justeru, semua KEB yang hadir Bengkel MBN 2019 itu nanti boleh mencari dari sudut mana mereka boleh menjadi sebahagian dari inisiatif bisnes itu yang secocok dengan bisnes yang mereka kendalikan atau bisnes yang ingin mereka ceburi.

Aspirasi kami semua di MPM ialah Bengkel MBN 2019 itu nanti juga akan menjadi pentas baru bagi:

i) Membina keharmonian dan kesepakatan dalam kalangan pemegang-taruh Bumiputera terutama dalam tatacara kerja iaitu bagaimana mereka saling memainkan peranan menjayakan setiap Inisiatif Bisnes itu. Yang penting, mereka wajib kaitkan dengan lima (5) pasak ekonomi itu dan enam (6) tiang seri kemakmuran yang digariskan kerajaan dalam Kajian Separuh Penggal RMK 11 yang dibentangkan Perdana Menteri, di Parlimen pada 18/10/2018 lepas.

ii) Merealisasikan hasrat dan aspirasi kerajaan yang ingin melihat agenda ekonomi diterajui sendiri oleh pemain industri dan dipermudah cara oleh lain-lain pemegang-taruh, terutama dalam institusi politik dan pentadbiran kerajaan. Merekalah yang diamanahkan untuk mencorakkan Masa Depan Bumiputera dan Negara.

Selamat berbengkel kepada pemegang taruh Bumiputera yang diamanahkan mencorakkan masa depan bumiputera dan negara.

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini