JOHOR BAHRU 7 Mac – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut manakala abangnya yang berusia 15 tahun cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Sentral 28, Taman Nusa Sentral, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzhulkhairi Mukhtar berkata, motosikal terbabit melanggar sebatang pokok Angsana dalam kejadian itu.
“Mangsa, Muhammad Izharul Haq Abdul Mutalib disahkan meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
“Sementara abangnya, Muhammad Huzair Al-Hakim cedera parah di bahagian kepala dan masih dalam keadaan koma kini mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama,” ujarnya ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE











