AADK tahan dua pengawal keselamatan tokan dadah - Utusan Malaysia

AADK tahan dua pengawal keselamatan tokan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Dua orang pengawal keselamatan ditahan dalam operasi Ops Cegah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sebuah galeri jualan rumah dekat Bandar Baru Salak Tinggi di sini minggu lalu.

Ketua AADK Sepang, Haslina Hashim berkata, dalam operasi kira-kira pukul 11.35 malam hingga 2.30 pagi Rabu lalu mendapati kedua-dua lelaki itu menjadikan tempat mereka bertugas sebagai lokasi untuk menjalankan urusniaga jual beli dadah jenis syabu dan heroin.

“Sewaktu tangkapan dijalankan, AADK berjaya merampas syabu seberat 2.89 gram dan heroin seberat 117.9 gram yang ada bersama suspek.

“Siasatan mendapati, kedua-dua suspek merupakan tokan yang menjual dadah kepada penagih di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Menurut Haslina, AADK telah menjalan risikan selama dua minggu sebelum menahan kedua-dua suspek.

Ujarnya, ujian awal saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin dan syabu ekoran mereka mencampurkan kedua-dua bahan terlarang itu.

Tambahnya, mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan diserahkan kepada Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, menurut Haslina, dalam operasi tersebut, AADK juga berjaya menahan enam individu lain yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Tambahnya, ujian awal saringan air kencing kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis syabu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN