PASIR GUDANG 15 Mac – Sehingga pukul 4 petang ini, kerja-kerja pembersihan dilakukan melibatkan jarak sejauh 680 meter daripada keseluruhan jarak 1.5 kilometer sungai yang terjejas dengan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, jarak berkenaan merupakan bahagian yang paling teruk terjejas.
“Bahagian Sungai Kim Kim yang dikesan menjadi lokasi pembuangan sisa kimia telah dibersihkan, ini melibatkan jarak sejauh 680 meter.
“Bahagian yang tinggal adalah bahagian yang dikesan mengandungi sisa bahan kimia berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, di sini sebentar tadi.

Keseluruhan jarak Sungai Kim Kim yang dikesan tercemar dan perlu dibersihkan adalah sejauh 1.5 kilometer.
Tambah Bee Yin, pihaknya turut memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Saintifik yang bertujuan untuk mengkaji insiden pencemaran ini secara saintifik. – UTUSAN ONLINE











