50 anak syarikat tiada aktiviti perniagaan bakal ditutup - Utusan Malaysia

50 anak syarikat tiada aktiviti perniagaan bakal ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 2 Mac – Kerajaan negeri kini dalam proses menutup kira-kira 50 anak syarikat milik kerajaan negeri yang dikenal pasti tidak lagi beroperasi dan tiada sebarang aktiviti perniagaan. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah penutupan itu dijangka mampu menjimatkan kos berjumlah ratusan ribu ringgit yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain di samping mengukuhkan anak syarikat yang berdaya maju. 

Katanya, kebanyakan anak syarikat terlibat adalah syarikat-syarikat kecil yang namanya tidak dikenali dan menjalankan perniagaan hampir serupa, bahkan, segelintirnya dibangunkan tanpa pekerja. 

“Bayangkan kalau satu-satu syarikat tu memberi beban lebih kurang RM5,000 setahun jadi kalau 10 syarikat sudah RM10,000. 

“Kita bercakap mengenai 50 syarikat yang selagi tidak ditutup walaupun tiada hasil tetapi, laporan syarikat perlu dibuat termasuk laporan audit dan bayaran kepada setiausaha syarikat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Makan Malam Ummah di Paya Bunga Hotel di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Pengerusi Paya Bunga Hotel, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Ahmad Samsuri menarik perhatian, daripada 50 anak syarikat berkenaan kebanyakan merupakan anak syarikat di bawah 
teraju pelaburan negeri, Terengganu Inc. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri akan membuat penyusunan semula bagi menggabungkan anak-anak syarikat milik kerajaan negeri dalam teras sama ke arah mengukuhkan prestasi di samping dapat berkongsikan kepakaran dan pengalaman.

“Walaupun asalnya daripada subsidiari berbeza-beza tetapi apabila mereka buat perkara sama ia nampak seolah-olah bersaing dan tidak mendatangkan kebaikan. 

“Jadi lebih baik syarikat yang berbeza ini digabungkan di bawah kategori sama supaya mereka dapat bekerjasama dan menggunakan aset yang lebih kurang serupa,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×