SUNGAI PETANI 4 Mac – Kira-kira 50 orang Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Semangat, Taman Hospital dan Taman Sejati di sini, menyertai Program Menyusuri Sungai Merbok yang julung-julung kali diadakan di sini, semalam.
Kesemua mereka menaiki bot selama sejam bermula di Jeti Semeling pukul 3 petang sehingga ke Restoran Terapung Calet Teluk Bayu, Bukit Kechil di sini.
Pengerusinya, Mohd. Ghause Ibrahim berkata, banyak pemandangan menarik dapat diperhatikan sepanjang tempoh tersebut termasuk pokok bakau, burung bangau dan helang.
“Malah ramai dalam kalangan ahli jawatankuasa KRT itu tidak pernah melawat tempat ini dan sudah tentu ia memberi pengalaman baharu buat mereka,” katanya ketika ditemui di sini.
Turut sama menyertai program itu adalah wakil dari beberapa media tempatan.
Menurut Mohd. Ghause, program seumpama itu seharusnya turut dilakukan oleh ahli jawatan kuasa KRT yang lain untuk menambah ilmu tentang alam sekitar.
“Program ini mendapat kerjasama dari Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Muda, Mohd. Fakhzan Nasir yang turut merasmikan program itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, semasa berada di Calet Terapung Calet Teluk Bayu, para peserta berpeluang melihat dari dekat pelbagai jenis ikan termasuk ikan pari, kerapu kertang, kerapu hibrid, gerpoh, siakap putih, jenahak dan alu-alu. – UTUSAN ONLINE










