KUALA LUMPUR 14 Mac – Sebanyak lima warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu `Op Sarang’ yang dijalankan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Sabah semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, dalam operasi yang turut disertai Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Jabatan Imigresen dan International Criminal Police Organization (Interpol) itu, sebanyak 43 rumah setinggan haram turut dikesan didirikan di beberapa lokasi sekitar Tawau.
Menurutnya, operasi selama lima jam itu tertumpu di beberapa penempatan termasuk perkampungan air pinggiran bandar Tawau, termasuk Kampung Titingan (Ice Box) yang dikenal pasti sebagai ‘lokasi panas’.
“Operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) ini merupakan langkah susulan untuk pencegahan jenayah di samping mewujudkan masyarakat yang prihatin serta aktif membasmi jenayah dan dadah serta masalah sosial dalam kawasan mereka.
“Kita memandang serius masalah PATI di daerah ini dan operasi ini merupakan langkah drastik dan agresif yang kita ambil untuk menangani masalah tersebut susulan kebanjiran PATI yang melibatkan penyalahgunaan dadah dan jenayah di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Tambahnya, lima individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. – UTUSAN ONLINE











