JOHOR BAHRU 12 Mac – Empat individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan 13 wanita warga asing untuk eksploitasi seks, bulan lalu.
Kesemua tertuduh, Tan Wei Siong, 22; Tan Heng Wah, 44; Sech Chung Hing, 42; dan Liew Mee Yen, 40, membuat pengakuan itu atas semua 13 pertuduhan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.
Keempat-empat tertuduh didakwa secara bersama-sama memperdagangkan 11 wanita warga Vietnam dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 31 dan 38 tahun bagi maksud eksploitasi seks.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan pembinaan Lot 2221 Jalan Tanjung Kupang, Gelang Patah kira-kira 8.45 malam 16 Februari lalu.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan untuk setiap seorang tertuduh, namun dibantah peguam Mohd. Asram Zakaria.
Mohd. Asram mewakili Wei Siong, Chung Hing dan Mee Yen manakala Heng Wah pula diwakili Mazri Muhammad.
Faiz kemudian menetapkan setiap tertuduh dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tuduhan selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu kesemua mangsa yang ditempatkan di rumah selamat.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 hingga 27 Mac ini bagi merakam keterangan mangsa.











