KUALA LUMPUR 29 Mac – Kerajaan akan menyemak semula profil 36 syarikat yang menerima permit import (AP) terbuka selepas menerima aduan syarikat-syarikat berkenaan tidak mematuhi syarat kelayakan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata, antara syarat-syarat yang tidak dipatuhi termasuklah tidak mempunyai keupayaan kewangan selain tiada pengalaman dalam penjualan dan pengedaran kenderaan.
Kata beliau, terdapat juga aduan yang syarikat-syarikat itu mempunyai perancangan untuk menjual AP berkenaan kepada pihak ketiga.
“MITI akan melaksanakan penyemakan maklumat terkini daripada syarikat-syarikat ini termasuk memorandum atau Artikel Persatuan, maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kewangan, penyata kewangan bagi 2015 hingga 2018, slip pengisytiharan dan bayaran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk 2016 hingga 2018.
“Kami juga akan menyemak penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi Januari hingga Mac 2019 dan lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi 2017 hingga 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Langkah itu dibuat seperti dinyatakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking yang mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana syarikat AP Terbuka yang tidak mematuhi syarat-syarat pematuhan sebagai syarikat AP Terbuka termasuk mereka yang didapati menjual AP kepada pihak ketiga.
Tambah Kian Ming, semua dokumen perlu dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh surat MITI dikeluarkan.
Menurutnya, kegagalan syarikat untuk memberi kerjasama dan mengemukakan dokumen tersebut dalam tempoh ditetapkan boleh menjejaskan sebarang permohonan AP pada masa hadapan.
“Siasatan juga akan dilaksanakan melalui audit berperingkat ke atas syarikat sedia ada bagi memastikan syarat-syarat sebagai syarikat AP Terbuka di bawah dasar baharu dipatuhi.
“MITI komited untuk memastikan hanya syarikat yang benar-benar layak sahaja dapat mengekalkan status mereka sebagai syarikat AP Terbuka dan meneruskan perniagaan mereka dalam industri ini,” katanya.











