SEREMBAN 1 Mac – Lebih 29,000 kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama bernilai kira-kira RM1.1 juta dirampas dalam satu operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Timbalan Pengarah Cawangan Operasi Khas KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata, kasut dan selipar berkenaan dirampas di empat buah rumah kedai yang dijadikan stor penyimpanan barang tiruan itu di satu lokasi di Nilai dekat sini.
Menurutnya, seramai 12 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP negeri ini terlibat dalam serbuan yang turut disertai wakil pemilik cap dagang itu.
“Siasatan awal mendapati premis itu antara pembekal utama kasut tiruan di negeri ini dan dimiliki oleh seorang warga tempatan. Pemilik premis telah dikenal pasti dan sedang dikesan bagi membantu siasatan lanjut.
“Serbuan itu dilakukan hasil risikan kami selama dua minggu ke atas stor berkenaan. Terdapat seorang pekerja lelaki berusia 18 tahun semasa serbuan dilakukan dan kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Zubir Hamsa.
Kasut dan selipar tiruan terbabit antaranya menggunakan jenama Adidas, Puma, Nike dan Converse.
Rosli berkata, rampasan itu adalah yang terbesar di negeri ini sehingga tahun ini dan barangan tiruan tersebut dipercayai untuk dijual pada harga antara RM50 hingga RM70 sepasang di sekitar negeri ini serta Lembah Klang. – UTUSAN ONLINE










