SEPANG 6 Mac – Sebanyak 213 kes penipuan atau perdayaan di bawah jenayah komersial membabitkan kerugian berjumlah RM2.3 juta direkodkan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, data yang direkodkan dari Januari 2018 hingga Februari lalu itu melibatkan sebanyak 329 tangkapan.
“Tangkapan dibuat ke atas suspek yang merupakan warganegara tempatan pelbagai jantina dan peringkat umur.
“Modus operandi kes yang disiasat ini adalah penipuan jual beli dalam talian, pinjaman tidak wujud, Macau scam (penyamaran sebagai penguasa melalui panggilan telefon) dan African scam (love scam melalui media sosial),” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kebanyakan kes yang dikesan melibatkan pemilik akaun yang digelar keldai akaun menjadi penyumbang terbesar berlakunya kes penipuan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz berkata, kadar indeks jenayah yang direkodkan di Sepang bagi Januari hingga Februari tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 10.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, jenayah kekerasan dan harta benda menunjukkan penurunan masing-masing dengan 8.33 peratus dan 11.1 peratus untuk tempoh sama.
“Kita dapati tindakan melaksanakan sekatan jalan raya pada waktu malam dan pemeriksaan kerap pada siang membantu menurunkan kadar indeks jenayah.
“Kita akan meneruskan tindakan pencegahan jenayah khususnya sekatan jalan raya kerana ia memberi impak langsung kepada penurunan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










