20 pegawai kanan PDRM bertukar, naik pangkat - Utusan Malaysia

20 pegawai kanan PDRM bertukar, naik pangkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur 5 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat membabitkan 20 pegawai kanannya berkuat kuasa 8 April depan.

Memuatkan artikel berkaitan…
ASMAWATI AHMAD
ASMAWATI AHMAD 

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran membabitkan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd. Rashid yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Perak yang baharu dengan memangku pangkat Komisioner Polis.

“Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob pula akan menjadi Ketua Polis Kedah baharu dengan memangku pangkat Komisioner Polis, manakala Ketua Penolong Pengarah E3, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Rosly Abas dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 2, Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner Polis.

“Ketua Penolong Pengarah (Pematuhan) Bahagian Pematuhan Standard Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Lim Hong Shuan akan bertukar ke Timbalan Ketua Polis Perak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Asmawati, selain itu pertukaran turut membabitkan Komander Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Asisten Komisioner Nasarudin Abdul Mubin yang dinaikkan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner Ketua Inspektorat Penerbangan, Pasukan Gerakan Udara.

Jelasnya, turut dinaikkan pangkat ialah Ketua Penolong Pengara Narkotik (Teknikal Intelegen Analisis) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Asisten Komisioner Abdul Rahim Dolmat yang akan menjadi Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) JSJN Bukit Aman.

“Manakala Ketua Jabatan Pengurusan Perak, Asisten Komisioner Abdul Latiff Yunus akan bertukar sebagai Komandan PULAPOL Kuching.

“Penolong Pengarah (Pengurusan Penilaian Kompetensi), Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, Asisten Komisioner Dr Tan Poh Pow ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi),” jelasnya.

Mengulas lanjut, Asmawati menambah, turut terlibat dalam pertukaran itu iaitu Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Terengganu yang akan mengambil alih jawatan Dr Tan Poh Pow.

“Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti Kedah.

“Tempat beliau akan digantikan Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah. ACP Perhubungan Antarabangsa Urusetia Ketua Polis Negara, Asisten Komisioner Mahfuz Abd Majid akan menjadi Urusetia KPN (Pentadbiran),” katanya.

Sehubungan itu, senarai penuh pertukaran dan kenaikan pangkat pegawai-pegawai terbabit boleh dilayari menerusi laman Facebook Rasmi PDRM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini