KUALA LUMPUR – Majlis Daerah Jelebu, Negeri Sembilan optimis dapat menarik lebih 10,000 peserta dalam acara 2 Wheels Festival 2019 sebagai salah satu usaha mempro mosikan daerah itu sebagai destinasi pelancongan.
Yang Dipertuanya, Mud Shardihan W. Dahalan berkata, festival itu bertujuan mengumpulkan peminat kelab motosikal dan basikal bukan sahaja dari Malaysia bahkan dari Thailand, Singapura dan beberapa negara lain.
Katanya, program yang julung- julung kali diadakan itu mendapat kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan. Ia akan diadakan selama dua hari bermula Sabtu ini di Kuala Klawang, Jelebu.
“Jelebu terkenal sebagai destinasi ekopelancongan. Bentuk muka bumi dan jalan yang berkelok menjadi daya tarikan kepada penunggang motosikal menjadikan Jelebu sebagai destinasi wajib singgah.
“Selain itu, karnival ini juga dijangka meningkatkan pendapatan pengusaha inap desa dan peniaga dengan mewujudkan peluang perniagaan dalam sektor perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Tambahnya, pengeluar motosikal seperti Yamaha, Suzuki, Aprilla, Ducati, Mossi dan pengedar barangan motosikal akan turut membuat pameran serta jualan bagi memeriahkan festival tersebut.
Acara fun ride dijadikan sebagai gimik pelancaran di sekitar Kuala Klawang di samping aktiviti lain. – K! ONLINE











