2 remaja, 3 pesalah juvana didakwa rogol, liwat pelajar 15 tahun - Utusan Malaysia

2 remaja, 3 pesalah juvana didakwa rogol, liwat pelajar 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 24 Mac – Dua remaja dan tiga pesalah juvana dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Juvana di sini sebentar tadi atas pertuduhan meliwat dan merogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun, antara Oktober tahun lalu hingga awal Mac bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Hairie Hazalin, 20, dan Zarin Mohd. Zin, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Hairie didakwa meliwat pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Pulai Perdana 2/9, Taman Sri Pulai Perdana, Skudai di sini pada pukul 1.40 petang, 3 Oktober 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Zarin pula dituduh merogol mangsa yang sama di tempat sama pada pukul 3 petang, 3 Mac lalu.

Dia dakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang sama jika sabit dengan kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Sabiq Mohd. Subri manalaka kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan RM20,000 dengan seorang penjamin ke atas kedua-dua tertuduh.

Di Mahkamah Majistret Juvana, tiga lagi rakan tertuduh berusia antara 16 hingga 17 tahun masing-masing didakwa meliwat dan merogol pelajar yang sama.

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurashidah A. Rahman.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunisak Hassni manakala tertuduh diwakili peguam bela.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 April depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini