2 maut dalam kemalangan melibatkan teksi
 - Utusan Malaysia

2 maut dalam kemalangan melibatkan teksi


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 28 Mac – Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan teksi, kereta dan lori di Kilometer 87.5 Jalan Batu Pahat-Pontian berhampiran Kampung Parit Abdul Rahman Benut dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.37 malam itu, Abdul Rahman Daud, 66, yang memandu teksi jenis Nissan Sylphy dan pemandu Proton Satria, Daing Mohamad Shahdan Shah Nabidon, 23, maut.

Seorang lagi iaitu penumpang Proton Satria, Muhammad Adha Othman, 19, cedera manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu teksi yang dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Benut dipercayai memotong kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Teksi itu kemudian melanggar lori di bahagian tepi sebelah kanan sebelum bertembung dengan kereta Proton Satria yang datang dari arah Benut menghala ke Batu Pahat.

“Mangsa Abdul Rahman Daud meninggal dunia di tempat kejadian manakala Daing Mohamad Shahdan Shah Nabidon meninggal dunia semasa di wad Hospital Pontian,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kedua-dua mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Pontian bagi tujuan bedah siasat dan waris keluarga mangsa sudah pun dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Beliau memberitahu, kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini