KUALA LUMPUR 4 Mac – Polis menahan 15 wanita warga Thailand disyaki berperanan sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Solaris Mont Kiara, di sini semalam.
Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Rohazah Alwi berkata, serbuan dilakukan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.45 tengah malam semalam.
“Siasatan awal mendapati, pusat hiburan itu menggaji wanita warga Thailand sebagai GRO dan mereka mampu mengaut tip berjumlah RM200 hingga RM400 dalam masa sehari.
“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan yang bertindak menjaga premis berkenaan selain merampas resit bayaran dan wang tunai,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Menurut Rohazah, pusat hiburan yang berkonsepkan bar terbuka itu sudah beroperasi sejak dua tahun lalu dan beroperasi seawal pukul 4 petang hingga 2 pagi.
Jelasnya, GRO yang ditahan juga cuba menyembunyikan diri menerusi laluan rahsia yang terdapat dalam pusat hiburan tersebut namun usaha mereka gagal.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959. – UTUSAN ONLINE










