KUALA LUMPUR 22 Mac – Sebanyak 11,915 daripada 13,677 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah diusir ke negara asal masing-masing sejak 1 Januari lalu sehingga semalam manakala selebihnya masih menunggu pendakwaan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah itu diperolehi daripada 4,454 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dalam tempoh tersebut.
“Langkah ini (pengusiran) penting bagi memastikan Depot Tahanan Imigresen sentiasa berada ditahap siap sedia menerima tahanan dari operasi penguatkuasaan yang dijalankan tanpa henti.
“Dalam operasi-operasi berkenaan, kita juga telah menahan sebanyak 311 majikan yang didapati menggajikan PATI tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Khairul Dzaimee, usaha ini adalah bagi memastikan negara bebas daripada dibelenggu masalah PATI dan lambakan warga asing selaras dengan hala tuju yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagaimanapun, Khairul Dzaimee berkata, walaupun operasi penguatkuasaan dijalankan tanpa henti dan dilaksanakan secara bersepadu, ada segelintir orang ramai yang masih merungut dengan kehadiran warga asing.
“Saya ingin mengingatkan bahawa bukan semua warga asing adalah PATI tetapi ada antara mereka yang masuk secara sah sebagai pekerja asing, ekspatriat, pelajar dan juga pelancong.
“Sehingga 28 Februari lalu, terdapat 2,045,910 pekerja asing yang sah di negara ini, mereka ini memenuhi keperluan tenaga kerja asing dalam beberapa sektor utama seperti perladangan, perkilangan, perkhidmatan, pembinaan dan lain-lain,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











