KUALA LUMPUR 23 Mac – Jabatan Imigresen Selangor menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap peniaga tempatan yang mengupah atau memberikan tapak perniagaan kepada warga asing ekoran aduan orang awam yang rimas dengan peniaga warga asing di tempat mereka.
Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, bertindak terhadap aduan tersebut, pihaknya telah membuat operasi di dua premis masing-masing di Uptown Kajang dan sebuah kelab malam di Klang, semalam.
Katanya, hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 200 diperiksa dan 103 daripadanya telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.
“Di Uptown Kajang sebanyak 160 warga asing yang bekerja dan datang berkunjung di situ telah diperiksa dan 79 daripada mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Manakala di lokasi kedua di Klang, sebanyak 40 warga asing dipercayai pekerja dan pelanggan di kelab malam tersebut telah diperiksa dan 24 daripadanya telah ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Shukri berkata, kesemua yang ditahan di bawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen dan seterusnya akan di tahan di Depot Imigresen Semenyih.
“Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tamat tempoh pas serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas.
“Operasi yang dijalankan di Uptown Kajang adalah berdasarkan aduan dari orang awam yang telah rimas dengan peniaga warga asing justeru Jabatan Imigresen memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengambil tindakan terhadap peniaga tempatan yang mengupah atau memberikan tapak perniagaan kepada warga asing ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











