BERA 5 MAC – KEBAKARAN yang menyebabkan seorang orang kurang upaya (OKU) rentung dan tiga buah rumah terjejas dua minggu lalu menjadi tragedi yang tidak dapat dilupakan penduduk di Kampung Baru Triang di sini.

Kejadian itu turut menyebabkan lebih 1,000 penduduk di kampung berkenaan kini hidup dalam keresahan dan kebimbangan ekoran tekanan air rendah yang mengakibatkan usaha
memadam kebakaran terjejas.
Difahamkan, dalam kejadian kebakaran pada 20 Februari lalu itu, pasukan Bomba dan Penyelamat Triang yang bergegas ke tempat kejadian gagal bertindak akibat tekanan air rendah.
Susulan itu, anggota bomba terlibat terpaksa menunggu bantuan daripada jentera bomba lain bagi membawa air termasuk bantuan lori tangki bomba dari Temerloh yang mengambil masa kira-kira 45 minit untuk ke tempat kejadian.
Seorang wakil penduduk, Lim Tian Seng, 60, berkata, susulan kejadian itu menyebabkan penduduk berdekatan bimbang berlaku kebakaran yang boleh memusnahkan lebih banyak rumah pada masa akan datang.
Katanya, meskipun balai bomba terletak berhampiran, ia sudah tentu tidak dapat membantu sekiranya air paip gagal dipam ke kawasan tersebut.
“Pada hari kejadian, bomba yang datang mengalami masalah kerana tiada air menyebabkan api terus marak ke dua lagi rumah sehingga lori tangki bomba sampai.

“Diharapkan masalah ini dapat diatasi dengan segera kerana ia meresahkan kami dan melibatkan keselamatan penduduk di lebih 200 buah rumah di sini,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Muhammad Redzuan Rahimpudin mengakui, anggotanya yang sampai awal sebelum menerima panggilan telefon gagal bertindak ekoran masalah air.
Selain itu katanya, tiga pili bomba rosak menyebabkan mereka terpaksa mengepam air pili yang terletak jauh daripada kawasan kebakaran.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Triang, Leong Yu Man berharap, isu tekanan air rendah di kawasan Bera dapat diatasi segera dengan usaha menaik taraf loji air di situ.
“Saya juga menggesa pili bomba dapat diselenggara dengan baik dan akan meminta supaya sebuah lori tangki disediakan di Balai Bomba Bera,” katanya.










