100 penduduk ‘bermandi’ habuk, rumah retak akibat operasi kuari - Utusan Malaysia

100 penduduk ‘bermandi’ habuk, rumah retak akibat operasi kuari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU 2 Mac – “Setiap hari saya terpaksa mop lantai sebanyak dua kali iaitu pada sebelah pagi dan petang kerana kalau dibiarkan, kami umpama hidup dalam debu sejak beberapa tahun lalu”.

Memuatkan artikel berkaitan…

Demikian rintihan seorang penduduk Kampung Lubuk Batu, Jitra, di sini yang menderita dengan masalah tersebut sejak operasi kuari pasir bermula di kampung itu kira-kira dua tahun lalu.

Shukri Md. Janan, 51, antara hampir 100 penduduk yang mendiami sembilan buah rumah yang paling berhampiran dengan tapak projek tersebut.

Selain tersebut, rumah yang didiaminya sejak berpuluh tahun lalu itu sudah menunjukkan tanda-tanda retak dipercayai akibat kerja-kerja terbabit.

AKTIVITI kuari pasir yang didakwa memberi ancaman dan masalah kepada penduduk pada sidang akhbar ber
AKTIVITI kuari pasir yang didakwa memberi ancaman dan masalah kepada penduduk pada sidang akhbar bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) di Kampung Lubuk Batu, Mukim Pelubang di Kedah, hari ini. – UTUSAN ONLINE/Fariz Rusadio

“Saya sendiri sudah beberapa kali turun naik pejabat berkaitan, untuk mengadu masalah ini tetapi hanya diberitahu tapak kuari ini adalah sah dan mereka menepati syarat yang ditetapkan.

“Tetapi, bagi kami tapak ini tidak sesuai kerana berdekatan dengan rumah penduduk sehingga terpaksa menerima pelbagai kesan,” katanya dalam bantahan yang disertai penduduk kampung itu, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Sanusi Hashim, 57, berkata, kampung tersebut adalah lokasi kebiasaan banjir dan mereka bimbang kejadian yang lebih teruk berlaku sekiranya kerja-kerja kuari itu terus dibenarkan beroperasi.

“Penduduk juga terpaksa berhadapan gangguan bunyi kerana lori yang berulang-alik mengangkut pasir sejak pukul 6 pagi dan keselamatan kami juga terancam kerana sering berselisih dengan kenderaan berat di laluan utama,” ujarnya.

Katanya lagi, mereka juga sebelum ini telah mengumpulkan tandatangan penduduk bagi membantah operasi kuari itu agar dihentikan serta-merta.

Dalam pada itu, Pegawai Luar Sahabat Alam Malaysia (SAM), Zulkifli Yusuf berkata, pihaknya menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut campur tangan bagi mengatasi masalah itu.

“Selain pencemaran habuk, kejadian pergerakan tanah dan rumah retak menyebabkan penduduk bimbang tentang kesihatan dan keselamatan mereka terutamanya kanak-kanak.

“SAM kesal kerana biarpun masalah ini telah lama berlaku, namun sehingga kini belum ada tindakan diambil walaupun beberapa aduan telah dibuat dan kami meminta kerajaan negeri mengkaji semula kelulusan operasi pasir kuari ini berdasarkan kesan buruk yang dihadapi penduduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN