PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan 10 suspek termasuk ketua sebuah balai polis yang direman kerana dipercayai menerima rasuah kononnya untuk melindungi pusat urut di sekitar Kuala Lumpur.
Mereka yang terdiri daripada tujuh penguat kuasa dan tiga orang awam yang berperanan sebagai perantara bagi mengutip wang sogokan tersebut setiap bulan sebelum ini direman empat hari sejak Selasa lalu.
Majistret Saifullah Qamar Siddique Bhatti membenarkan tujuh penjawat awam itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Sementara itu, tiga individu lagi dibebaskan dengan dijamin dengan jaminan SPRM berjumlah RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan kesemua suspek melapor diri kepada SPRM sekiranya ingin ke luar negara selain perlu melapor diri jika dipanggil ke pejabat suruhanjaya itu.
Terdahulu, kesemua suspek yang memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pada pukul 10.30 pagi tadi.
Pada Selasa lalu, SPRM berjaya mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari ke atas semua suspek bagi membantu siasatan kes tersebut.
Selain mereka, turut direman ialah empat pemilik pusat urut selama lima hari bagi siasatan berhubung kes yang sama.
Kesemua individu terbabit ditahan di antara pukul 10 pagi hingga 5 petang di 16 lokasi di sekitar Lembah Klang hasil risikan SPRM sejak tiga bulan lalu.
Menurut sumber, mereka diberkas selepas dipercayai terlibat melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut berkenaan.
Katanya, wang sogokan yang diterima oleh kumpulan suspek terbabit adalah secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 setiap bulan.
“Difahamkan, pemilik premis itu dipaksa membayar wang sogokan setelah penguat kuasa terbabit datang memberi ‘salam perkenalan’ pada peringkat awal,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009. -K! ONLINE











