1 wanita maut, 1 lelaki parah dalam kemalangan - Utusan Malaysia

1 wanita maut, 1 lelaki parah dalam kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 11 Mac – Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah setelah motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di kilometer 21.1 Lebuhraya Linkedua Arah Selatan, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 7.48 pagi, mangsa, Gan Kai Woon, 21, membonceng motosikal yang ditunggang Liew Chan Hoong, 34, dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Singapura.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa di lorong kecemasan mengalami kerosakan tayar pecah menyebabkannya terjatuh di sebelah kiri jalan manakala rakannya terbabas ke sebelah kanan jalan.

“Pembonceng motosikal yang terjatuh itu kemudiannya bangun dan pergi memeriksa rakannya yang berada di tepi kanan jalan. Semasa mangsa melintas jalan untuk melihat keadaan rakannya, dia dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang kemudiannya beredar meninggalkan tempat kejadian.

“Ekoran pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta telah disahkan maut di lokasi setelah diperiksa oleh pihak ambulans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk dibedah siasat manakala penunggang motosikal pula yang mengalami kecederaan patah bahu kanan turut dikejarkan ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pegawai penyiasatnya telah pergi ke lokasi kemalangan dan mendapati kerosakan pada motosikal dinaiki mangsa di bahagian tepi sebelah kanan dan sedang mengesan saksi kemalangan untuk tampil membuat laporan.

Kes masih dalam siasatan polis yang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×