SHAH ALAM 12 Feb.- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin akan turut menyertai Mahkamah Koroner untuk melawat lokasi kejadian di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pagi ini.
Zuraida yang tiba kira-kira pukul 10 pagi itu akan ke kuil tersebut diiringi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Azmi Osman.
Lawatan diketuai Hakim Rofiah Mohamad yang bertindak sebagai Koroner bergerak menuju ke kuil dari Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini kira-kira pukul 10.30 pagi.
Difahamkan, selain melawat lokasi kejadian, mereka akan melihat jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang terlibat dalam insiden tersebut.
Turut serta ke lawatan nanti ialah Timbalan Pendakwa Raya selaku Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah.
Selain itu, turut serta pihak-pihak berkepentingan termasuk barisan peguam keluarga Muhammad Adib Mohd. Kasim, peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JPBM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(Suhakam) dan Majlis Peguam.-UTUSAN ONLINE










