GENEVA 27 Feb. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumpul sebanyak AS$2.6 bilion (RM10.5 bilion) untuk membantu penduduk Yemen yang berdepan krisis kemanusiaan.
Lapor al-Jazeera, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi penyumbang utama apabila masing-masing menyalurkan AS$500 juta (RM2.03 bilion).
Namun, dua negara yang bersekutu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Britain itu terlibat dalam konflik di Yemen yang dianggap PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Sejak 2015, gabungan diketuai Arab Saudi melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas pemberontak Houthi untuk mengembalikan kekuasaan kerajaan pimpinan Abd-Rabbu Mansour Hadi.
Sehingga kini, pemberontak berkenaan masih menguasai jajahan di Sanaa, pelabuhan Hodeidah dan beberapa wilayah di timur laut Yemen.
Wakil PBB memberitahu, seramai 24 juta iaitu 80 peratus daripada keseluruhan populasi memerlukan bantuan.
Pada masa yang sama, kira-kira 20 juta orang berdepan kebuluran dan berdasarkan kajian PBB, dianggarkan 10 juta penduduk Yemen hampir berdepan krisis kebuluran.
Akibat perang dan kemusnahan ekonomi yang berlarutan sejak tahun lalu, dua juta lagi penduduk Yemen berdepan krisis kemanusiaan.
Sementara itu, Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak yang tinggal di kawasan konflik dilaporkan mati dalam sehari manakala 360,000 kanak-kanak menderita masalah kurang nutrien yang membawa kepada penyakit-penyakit berbahaya.
Menurut Pengarah UNICEF bagi negara-negara Asia Barat dan utara Afrika, Geert Cappelaere, seorang kanak-kanak dilaporkan mati setiap 10 minit di Yemen akibat masalah kesihatan.
“Kini, Yemen merupakan tempat paling teruk di dunia untuk kanak-kanak,” katanya.











