Wisma Putra sahkan 47 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja - Utusan Malaysia

Wisma Putra sahkan 47 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 7 Feb. – Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember tahun lalu.

Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Jelasnya, makluman penahanan tersebut hanya diterima secara lisan daripada pihak polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu.

“Susulan daripada itu, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh telah mengadakan lawatan konsular ke atas para tahanan setelah mendapat maklumat yang lebih lengkap dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Lawatan tersebut bertujuan memastikan kebajikan para tahanan adalah terpelihara.

“Para tahanan menyatakan bahawa mereka telah ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan di sana,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wisma Putra lagi, pegawai Kedutaan Besar turut mengadakan pertemuan dengan pegawai penjara dan hakim yang mengendalikan kes tersebut.

Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga katanya, telah membawa perkara tersebut kepada perhatian pihak Kementerian Luar Kemboja dan mengemukakan Nota Diplomatik supaya tahanan tersebut dibebaskan.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sedang memantau perkembangan kes ini dengan rapi dan bersedia menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Menurut laporan akhbar, rakyat Malaysia terbabit pada awalnya ditawarkan pekerjaan bergaji lumayan di negara terbabit, namun terjebak dengan ‘agensi pengambilan pekerja’ yang terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia.

Jelas laporan itu, mereka yang ditahan termasuk sembilan wanita, kini ditahan atas dakwaan terbabit dalam sindiket perjudian antarabangsa.

Tambah laporan itu, mereka yang berumur antara 19 hingga 44 tahun itu kebanyakannya berasal dari Sabah dan Sarawak dan penahanan mereka hanya diketahui setelah dilaporkan oleh media tempatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN