BOLA sepak merupakan satu sukan utama di negara ini dan menjadi kegilaan buat sebahagian anak muda.
Maka, tidak hairanlah jika kita lihat setiap petang mahupun malam padang-padang bola sepak akan dipenuhi dengan peminat bola sepak untuk bermain sukan tersebut.
Dalam membentuk pemain bola sepak yang hebat, ia haruslah dimulakan sejak awal usia lagi.
Pada awal usia, pemain-pemain lebih mudah untuk dibentuk dari segi disiplin, teknik dan sebagainya.
Liga Malaysia sendiri tidak lagi ketandusan pemain-pemain muda yang berkualiti apabila ramai pemain bintang dilahirkan daripada pelbagai akademi bola sepak.
Dalam melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda dalam sukan tersebut, Akademi Bola Sepak Wira Muda (Wira Muda) yang berpangkalan di Pulau Pinang menjadi platform mencungkil bakat pemain bola sepak yang mampu mewakili negeri itu dan juga negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.
Pengasasnya, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib berkata, program pembangunan bola sepak akar umbi itu berperanan ke arah memastikan akademi tersebut mampu menyediakan pelapis berpotensi besar.
Menurutnya, pada peringkat permulaan, seramai 110 pemain berusia antara enam hingga 15 tahun sedang mengikuti latihan di padang Institut Latihan Kecemerlangan Mara di Jawi, Pulau Pinang dengan yuran bayaran dikenakan pada kadar yang paling minimum.
“Ketika dilancarkan, jumlah pelatih hanya seramai 80 orang, namun ia bertambah secara mendadak sehingga kini. Pelatih yang dipilih dibahagikan kepada empat peringkat umur iaitu bawah 8, 10, 12 dan 15 tahun.
“Mereka yang terpilih menyertai akademi ini dibekalkan dengan jersi khas dan kelengkapan peralatan sukan lain yang terkini.
Jurulatih profesional
“Pemain akademi ini akan berlatih selama empat jam seminggu dan diberi bimbingan sepenuhnya oleh jurulatih profesional selain mereka didedahkan dengan klinik video bola sepak dan sesi mandi ais dari peringkat awal untuk menjadi pemain profesional,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Wira Muda yang dilancarkan pada awal Oktober tahun lalu merupakan akademi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan dan di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.
Akademi itu mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman sebagai tanda prihatin dengan menyalurkan peruntukan wang tunai untuk membeli peralatan sukan.
Dalam pada itu, Shaik Awish Alkirani berkata, beliau mahu melihat lebih ramai anak kelahiran Nibong Tebal yang menyertai akademi itu mampu beraksi untuk pasukan Pulau Pinang suatu hari nanti.
“Setidak-tidaknya ada bakat yang boleh digilap dan mampu bermain di peringkat negeri. Mungkin kita mampu melahirkan lebih ramai pemain bola sepak di daerah ini.
“Bila sebut Nibong Tebal, mereka tahu di sini terdapat akademi bola sepak terbaik. Saya yakin impian dapat direalisasikan jika semua pihak memberi sokongan sepenuhnya.
“Wira Muda bukan sekadar akademi, namun tempat mendapat pendidikan awal dan ilmu pengetahuan tentang bola sepak dalam usaha melahirkan pemain yang bijak menguruskan karier mereka pada masa depan,” katanya.
Shaik Awish Alkirani sebelum ini merupakan bekas pemain Perlis, namun beliau nekad untuk bersara daripada dunia bola sepak walaupun baru berusia 25 tahun.
Selain pernah ditimpa kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebanyak tiga kali, anak kelahiran Pulau Pinang itu juga berdepan dengan gaji tertunggak selama empat bulan bersama pasukan Singa Utara itu yang beraksi dalam Liga FAM musim lalu.
Sebelum ini beliau pernah mewakili pasukan Piala Presiden Pulau Pinang, Real Mulia, PKNP FC dan MOF FC.
Sementara itu, ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Wira Muda boleh menghubungi talian 014-902 7646 atau layari laman rasmi Facebook Akademi Bolasepak Wira Muda.











