Waytha Moorthy minta masyarakat kunjungi, bantu rumah kebajikan - Utusan Malaysia

Waytha Moorthy minta masyarakat kunjungi, bantu rumah kebajikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 3 Feb. – Kunjungan masyarakat ke rumah kebajikan seperti pusat jagaan warga emas mampu membawa kegembiraan kepada penghuninya terutamanya ketika menjelang sambutan perayaan tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy berkata, ia adalah satu amalan mulia yang perlu dilakukan oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan fahaman agama.

“Kita boleh lihat reaksi gembira di wajah mereka walaupun kita mungkin tidak ada pertalian darah dengan penghuni di situ.

“Selain melawat, kita juga boleh tolong bukan saja dari segi kewangan tetapi memberi khidmat kepada pusat tersebut atau penghuninya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Jagaan Warga Emas Tong Sim di Rasah dekat sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membantu operasi pusat jagaan berkenaan.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Baharin Idris dan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri, Salasiah Hashim.

Sementara itu, Waytha Moorthy menyokong cadangan untuk mewujudkan undang-undang khusus bagi menghukum anak yang mengabai atau mendera ibu bapa masing-masing.

Jelasnya, cadangan itu perlu dikaji dengan teliti mengikut keperluan serta peruntukan undang-undang sedia ada.

“Perbuatan mengabaikan ibu bapa sendiri adalah tidak wajar. Saya fikir undang-undang mengenai perkara ini boleh dibuat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN