KUALA LANGAT 27 Feb. – Kariah Masjid Taqwa dan Surau Raudatul Muttaqin di Banting dekat sini bersama Yayasan Amal Malaysia berganding bahu menjayakan misi membekalkan air bersih menerusi program Water4life di Cameroon dan Chad, Afrika.
Timbalan Nazir Masjid Taqwa, Zainal Ali berkata, program tersebut melibatkan pembinaan mesin gerudi dan pemampat udara bernilai hampir RM220,000 yang ditanggung kosnya oleh pertubuhan bukan kerajaan dari kedua-dua negara tersebut iaitu Cansuyu Cameroun.
“Misi Water4life ini pernah dilakukan di Sudan beberapa tahun lalu dan misi kali ini adalah yang kedua. Kita akan membuat penghantaran mesin-mesin ini menggunakan kontena seberat 15 tan pada 2 Mac ini.
“Selain mesin-mesin ini, kita akan menghantar sumbangan berupa pakaian dan peralatan kesihatan dalam satu lagi kontena ke Cameroon dalam waktu terdekat,” katanya kepada Utusan Online di sini, baru-baru ini.
Zainal berkata, beliau akan berangkat ke Cameroon pada hujung bulan depan sebagai tenaga pengajar kepada NGO terlibat yang akan melakukan kerja-kerja membuat telaga tiub.
Katanya lagi, beliau akan berada di Cameroon dan Chad selama sebulan dengan kos ditanggung oleh Cansuyu Cameroun bagi memastikan aktiviti membina telaga tiub tersebut berjalan lancar.
“Kerja amal yang kita lakukan bersama Yayasan Amal Malaysia dan Cansuyu Cameroun adalah demi kebajikan rakyat negara tersebut. Maka saya berharap dalam masa berbaki beberapa hari ini, sumbangan masih boleh dibuat untuk kita memenuhkan kontena yang akan dihantar pada 2 Mac depan,” katanya.
Katanya lagi, setakat ini sumbangan pakaian telah cukup, namun untuk sumbangan kewangan masih boleh dihulurkan.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Bank, Darul Ilmi Boundry bernombor 86-0347248-3 atau hubungi Zainal di talian 013-2622055. – UTUSAN ONLINE











