KUALA LUMPUR 27 Feb. – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas di laluan bertentangan dan merempuh dua batang pokok di Jalan Persiaran Alam Damai menghala ke Taman Alam Damai, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, Chan Seong Kai, 64, yang memandu Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian .
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa menetap di Taman Midah, Cheras dan tidak bekerja.
“Sebelum merempuh pokok, kenderaan mangsa melanggar penghadang jalan dan tembok batu di laluan bertentangan.
“Mangsa maut akibat kecederaan di kepala dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











