SEPANG 12 Feb.- Seorang warga China didakwa atas pertuduhan membuat capaian kandungan untuk mencuri data pemilik kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.
Tertuduh, Chengyong Guo, 42, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho.
Lelaki itu didakwa membuat capaian maklumat dengan menggunakan dua alat yang disyaki ‘skimming’ bagi mencuri data pemilik kad ATM dan menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap mesin ATM.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah mesin ATM di aras 3, KLIA pada pukul 8.30 pagi, 22 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Aziatul Afrizal Alias memohon mahkamah tidak mengenakan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan dia merupakan warga asing.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh sebutan semula kes tertuduh yang tidak diwakili peguam terbabit pada 28 Februari ini. – UTUSAN ONLINE










