Wanita maut kereta dipandu bertembung bas di Sitiawan  - Utusan Malaysia

Wanita maut kereta dipandu bertembung bas di Sitiawan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SITIAWAN – Seorang wanita maut manakala dua lagi penumpang wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 14 Jalan Sitiawan-Teluk Intan di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 9.10 malam itu, mangsa, Ramlah Ahmad, 56, dan anak angkatnya berusia lapan tahun mengalami kecederaan parah manakala anak saudara mangsa yang berumur 18 tahun mengalami kecederaan ringan. 

Bagaimanapun, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung. 

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan. 

“Tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai mahu memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres di laluan bertentangan.

“Ketiga-tiga mereka dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital itu pada pukul 12.20 tengah malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Muhammad Hanif, anak angkat mangsa mengalami patah kaki kanan manakala anak saudaranya pula mengalami kecederaan di bahagian mata kiri. 

“Pemandu bas yang berusia 45 tahun dan 20 penumpang di dalam bas tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN