Wanita maut, anak cedera parah kemalangan tiga kenderaan - Utusan Malaysia

Wanita maut, anak cedera parah kemalangan tiga kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN – Seorang wanita maut, manakala anak lelakinya berusia tiga tahun cedera parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Gemas/Londah-Pasir Besar dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengahari itu, mangsa, Mariani Ahmad, 31, yang memandu kereta jenis Honda City maut di lokasi kejadian selepas keretanya dilanggar sebuah lori milik Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains).

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila lori Sains yang sedang bergerak dari arah Tampin berhenti di simpang tiga di lokasi kejadian kerana mahu memasuki ke simpang Pasir Besar.

Kata beliau, lori Sains itu kemudian dilanggar sebuah lori syarikat swasta yang mengekorinya dari arah belakang menyebabkan lori Sains itu menggelongsor ke hadapan dan terlanggar kereta dipandu Mariani yang sedang bergerak dari arah bertentangan.

“Perlanggaran itu menyebabkan kereta tersebut berpusing beberapa kali dan terhenti di simpang jalan. Pemandunya cedera parah di kepala dan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa yang merupakan suri rumah dan beralamat di Felda Pasir Besar, Gemas dibawa ke Hospital Tampin untuk urusan bedah siasat, manakala anak lelakinya yang cedera parah di bahagian dada di bawa ke Hospital Segamat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Ramli berkata, kes itu disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Mohd. Kassim Arittin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.01 tengahari dan seramai 12 pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan Mariani yang tersepit dalam keretanya sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN