KULAI – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dia diragut dua lelaki ketika menunggang motosikal seorang diri dalam kejadian di Jalan Merbuk 13, Bandar Putra di sini pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan lewat 20-an kerugian apabila wang tunai RM300 dan telefon bimbit jenis Huawei dirampas penjenayah terbabit.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan ke tempat kerjanya terletak di Bandar Putra.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beh Yeow berkata, apabila sampai di lokasi kejadian, wanita tersebut didatang dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha 135LC berwarna hitam.
“Suspek telah menahan wanita tersebut dan mengugut mangsa supaya menyerahkan barang berharga.
“Bimbang keselamatannya, mangsa menyerahkan telefon bimbit jenis Huawei, wang tunai kira-kira RM300, kad bank serta kad pengenalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, mangsa tidak diapa-apakan membuat laporan polis pada pukul 8.32 pagi hari yang sama.
Jelasnya, polis kini menjalankan siasatan dan memburu suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta tampil membuat laporan ditalian 07-6631422 atau balai polis berdekatan,” katanya. – K! ONLINE.










