[VIDEO]Wanita cedera akibat dibelasah penyamun - Utusan Malaysia

[VIDEO]Wanita cedera akibat dibelasah penyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Feb.- Seorang wanita cedera selepas dibelasah lelaki yang menyamunnya dalam sebuah lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun itu dikatakan berada dalam lif berkenaan bersama suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, ketika kejadian itu, mangsa dibelasah suspek sehingga cedera di dahi.

“Suspek melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM400.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun hingga mendatangkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Rusdi, pihaknya sudah merakam percakapan tiga saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Insiden samun itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan yang tular selepas dimuat naik dalam laman sosial sejak semalam.

Dalam rakaman video berdurasi 57 saat itu menunjukkan suspek mengekori wanita berkenaan yang bersendirian masuk ke dalam lif sebelum menumbuk mangsa beberapa kali serta menarik rambut dan menendang mangsa.

Ketika lif terbabit berhenti seketika di tingkat lain, suspek berhenti memukul mangsa dan berpura-pura berdiri sambil sebelah tangannya masih memegang rambut wanita terbabit.

Suspek kemudian segera menekan butang untuk menutup pintu lif berkenaan sebelum membelasah mangsa semula.

Lelaki itu menarik beg tangan mangsa dan mengambil dompet wanita itu sebelum melarikan diri.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN