KECOH dalam laman sosial baru-baru ini apabila seorang suami menceraikan isterinya kerana kerap ditegur akibat ketagihan permainan video Pubg sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Akibat permainan video itu juga si suami bukan sahaja tidak bekerja, malah meletakkan semua tanggungjawab pengurusan rumah tangga kepada isteri.
Dalam masa sama masih terdapat golongan suami yang enggan keluar dari kepompong hidup bujangnya. Suami kerap menghabiskan masa bersama rakan-rakan untuk menonton bola atau sekadar membuang masa di kedai mamak pada waktu malam sedangkan di rumah si isteri tidak menang tangan menguruskan hal rumah tangga seperti memasak, melipat kain, mengemas rumah dan menguruskan anak.
Hal ini secara tidak langsung mendera emosi isteri dan jika tidak ‘dirawat’ dikhuatiri akan membawa kepada masalah lebih besar seperti penceraian. Sedangkan tujuan perkahwinan dalam Islam adalah untuk mencari kedamaian dan sakinah (ketenangan).
Justeru, pendakwah muda, Mohd. Annas Khamis atau lebih dikenali sebagai Dai Annas mengajak pasangan suami isteri untuk saling bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab agar mencapai kebahagiaan diidamkan.
Beliau berkata, walaupun dalam Islam jelas menyatakan tanggungjawab suami untuk mencari dan memberi nafkah, namun stereotaip itu perlu dihakis kerana majoriti wanita pada hari ini turut bekerja untuk membantu suami menampung keperluan dalam rumah tangga.
Malah, kerajaan turut membuka ruang besar bagi wanita untuk mengembangkan kerjaya, justeru adalah tidak adil sekiranya kerja di rumah masih diletakkan sepenuhnya ke atas bahu wanita semata-mata.
“Jika suami berterusan mengutamakan rakan-rakan dan permainan video tanpa mempedulikan keadaan isteri yang kepenatan bekerja dan menguruskan hal rumah tangga, mungkin menjadi penyebab kepada pergaduhan atau membawa kepada penceraian.
“Ini kerana kekuatan isteri tidak setanding lelaki dan emosi mereka mudah terganggu apabila terlalu penat. Bahkan, apabila isteri ingin berkongsi masalah tetapi suami pula tiada di rumah atau mata tidak lekang daripada menatap skrin telefon pintar menyebabkan hilangnya komunikasi dalam rumah tangga.
“Jika ini berlaku, kemanisan alam rumah tangga boleh bertukar menjadi pahit. Jadi, suami perlu bijak menyusun masa dan melakukan kerja-kerja rumah bersama agar kebajikan isteri dan anak-anak tidak terabai, malah kasih sayang dapat terus disemai,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambah Dai Annas, keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi juga menjadi punca utama keretakan rumah tangga.
Namun, itu bukan alasan bagi seorang suami untuk melepaskan diri daripada tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dalam membantu melakukan kerja-kerja rumah dengan alasan tiada masa ekoran kekangan kerja.
“Sedangkan Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang sangat sibuk sebagai khalifah dan rasul, baginda perlu berjumpa dengan ramai orang daripada yang tidak berpangkat hingga yang berpangkat tinggi, namun tidak sesekali baginda mengabaikan isteri-isterinya. Malah, baginda masih mempunyai masa untuk bermanja dengan mereka.
“Ada satu masa Nabi Muhammad SAW melipat lengan jubahnya, lalu baginda mendekati isterinya Aisyah untuk membantu mengemas rumah dan memasak,” ujarnya.
ELAK DOMINASI
Mendidik isteri agar berdikari dalam segala urusan rumah tangga mungkin dilihat baik, namun dilihat dari sisi pandang yang lain, realitinya tidak baik untuk hubungan.
Ini kerana apabila seseorang isteri mendominasi dalam banyak perkara atau urusan rumah tangga dikhuatiri mereka akan mula selesa dengan keadaan tersebut tanpa memerlukan kehadiran suami.
Jika perkara tersebut berlaku, penceraian mungkin terjadi dan perkara itu akan lebih mudah kerana isteri memiliki kerjaya yang cerah tanpa perlu bergantung kepada kewangan suami, malah dalam masa sama tidak kekok melakukan pelbagai perkara bersendirian.
Namun, dalam tidak sedar, melepaskan dan membiarkan wanita menguruskan diri dan keluarga bersendirian tanpa kawalan merupakan kesilapan terbesar suami. Ini kerana sifat berdikari serta kekuatan emosi yang dibentuk oleh isteri menjadi kelebihan untuk mereka berani berjauhan tanpa kehadiran suami.
Apa yang membimbangkan, Dai Annas berkata, kebebasan itu boleh membuka ruang kepada isteri untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip Islam seperti maksiat terutama dalam era teknologi tanpa sempadan ini.
Bukan itu sahaja, wanita lebih cenderung untuk berkongsi masalah rumah tangga dalam laman sosial sehingga tidak menyedari perkara itu bukan sahaja mengaibkan suami sebaliknya turut mengundang fitnah dan kesempatan orang luar mengetahui masalah dihadapi.
“Lebih baik isteri berbincang secara bersemuka bersama suami bagi menyelesaikan segala masalah dan kekusutan dalam rumah tangga kerana jika tidak dapat diatasi dengan baik, mungkin akan berakhir dengan penceraian,” katanya.
Kebiasaannya apabila seseorang wanita bercerai, mereka akan cenderung untuk hidup sendiri tanpa menjalin ikatan perkahwinan baharu kerana trauma jika kisah silam berulang.
TEGUR BERADAB
Sikap suami yang sentiasa lepas tangan dalam menguruskan urusan rumah tangga mengundang rasa marah dan tidak puas hati dalam kalangan golongan isteri, malah situasi akan bertambah buruk sekiranya isteri berterusan memendam perasaan sehingga menyebabkan kemurungan dan tekanan.
Justeru, seorang isteri dibenarkan untuk menegur sikap suami tetapi dengan cara yang berhemah bagi mengelakkan menjadi derhaka.
Bak kata pepatah, seseorang itu tidak akan mengenali pasangannya selagi tidak berkongsi rumah, tidur, makan dan minum bersama, oleh itu segala kelebihan serta kelemahan pasangan perlu diterima dengan baik.
Teguran yang baik adalah melalui kata-kata dan tingkah laku tidak menyakiti hati suami serta membolehkan suami menerima teguran atau pandangan tersebut dengan hati terbuka.
Tambah Dai Annas, selain berdoa, kemahiran berkomunikasi merupakan elemen utama bagi seseorang isteri melembutkan hati suaminya untuk mengubah keadaan ke arah lebih baik dan bukannya dengan mainan emosi.
“Suka saya cadangkan agar isteri menegur dengan cara paling baik dan lembut kerana maruah suami tetap perlu dipelihara. Jika gagal berbuat demikian (bercakap lembut) atau suami masih enggan berubah sikap, isteri dinasihatkan untuk meminta bantuan pihak lain untuk menegur suami.
“Mungkin suami tidak suka campur tangan orang luar, tetapi jika itu sahaja cara yang ada, tiada masalah. Mungkin mereka boleh menerima cara teguran dengan baik.
“Jika tidak berkesan juga boleh mencuba dengan cara teguran melalui sindiran agar suami terasa seperti memasang video atau ceramah berkaitan masalah yang berlaku di rumah agar suami mendengar dan terasa panas telinga,” jelasnya.
Pun begitu, beliau menasihatkan pasangan suami isteri agar tidak bertengkar atau melepaskan perasaan marah di hadapan anak-anak kerana akan menjejaskan emosi mereka.
“Apabila menemui jalan buntu, ingatlah kembali satu perkara baik yang dilakukan oleh suami, kenang semula perkara itu agar hubungan suami isteri kembali jernih,” katanya.











