[VIDEO] Tak ambil berat larangan pembakaran terbuka - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tak ambil berat larangan pembakaran terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Feb. – Masih ada individu yang tidak mengambil berat larangan melakukan pembakaran terbuka berikutan cuaca panas yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Dalam kejadian di Kilometer 20.2 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menghala arah selatan kira-kira pukul 12 tengah hari ini, seorang lelaki berusia 40-an memberitahu dia melakukan pembakaran terbuka di kawasan rizab di situ kerana mahu menanam pisang.

Penjelasan lelaki itu mematikan terus sangkaan awal wartawan kemungkinan dia membantu memadamkan kebakaran yang berlaku di situ.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meskipun kebakaran yang berlaku tidak besar, namun tindakannya itu tetap boleh mengundang padah mengambil kira cuaca panas sekarang, selain terdapat banyak rumput dan daun kering di kawasan berkenaan.

“Saya bakar kecil sahaja dan awasi api. Saya juga menyiram air di kawasan sekitar sebelum melakukan pembakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.

Jelas lelaki yang tinggal di kawasan Putra Perdana itu, dia maklum tindakan itu menyalahi peraturan namun menegaskan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian buruk.

“Memang salah, sebab itu saya awal-awal lagi ambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan api tidak marak,”  katanya sambil memberitahu, terdapat anak sungai berdekatan dari lokasi untuk dia mengambil air bagi mengawal kebakaran daripada merebak.

Tinjauan mendapati, terdapat beberapa anggota daripada pasukan bertindak syarikat pengendali lebuh raya berkenaan memantau keadaan.

Menurut seorang anggota, kawasan berkenaan kerap berlaku kebakaran pada musim panas dan tanahnya pula adalah tanah gambut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberitahu, bomba dari balai Cyberjaya telah bergegas ke lokasi bagi mengawal keadaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN