HULU LANGAT 27 Feb. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditagih membantu menangani 1,001 masalah penduduk Pangsapuri Sri Rinching, Bandar Rinching di sini.
Bermula lebih 100 buah rumah yang tidak terjual di pangsapuri berkenaan sejak dibuka kira-kira 13 tahun lalu, jalan raya tidak berturap, bangunan retak sehinggalah kepada masalah gejala sosial.
Seorang penduduk, Mohd. Hafiz Marzuki, 43, berkata, dia bimbang rumah-rumah yang tidak terjual itu dijadikan sarang penagih dadah dan tempat membuat maksiat.
Katanya, kebanyakan rumah-rumah tersebut dipecah masuk untuk tujuan mencuri selain menjadi sarang penagih dadah melepaskan gian.
”Banyak barang hilang dalam rumah-rumah kosong berkenaan. Dalam rumah yang dimasuki itu, kami pernah jumpa pakaian dalam, kondom yang telah digunakan dan sampah sarap.
“Kami ada juga terjumpa tilam dan bantal yang diletakkan dalam rumah kosong berkenaan untuk tujuan kegiatan tidak bermoral,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini
Seorang lagi penduduk, Azura Darul Ehsan, 47, memberitahu, pihaknya mengenal pasti punca lebih 100 buah rumah tidak terjual di pangsapuri berkenaan disebabkan kerenah bank yang terlalu ketat meletakkan syarat kepada pembeli.
“Ramai yang menyewa di sini berpendapatan rendah dan hendak membeli rumah-rumah di sini. Namun, pihak bank meletakkan syarat seperti mahukan penyata gaji dan harga rumah mesti kira-kira RM100,000 dan ke atas.
“Masalahnya, pihak pemaju sendiri yang meletakkan harga rumah serendah RM80,000 seunit bagi membolehkan unit terbabit yang masih kosong terjual,” ujarnya.
Bagi suri rumah, Rozita Salim, 45, pangsapuri di sini sering dikunjungi orang yang tidak dikenali pada waktu malam.
Katanya, penduduk mengesyaki di pangsapuri berkenaan turut menjadi ‘port’ jual beli dadah selain tempat kegiatan pelacuran.
“Pada waktu siang di sini senyap sunyi, tetapi bila waktu malam, meriah dengan kereta-kereta mewah. Ada kereta Toyota Alphard, Honda, BMW dan pelbagai lagi yang masuk ke kawasan perumahan kami.
“Dalam erti kata lain, kalau nak buat maksiat, seks dalam kereta atau menjual beli dadah, semua jadikan kawasan perumahan kami sebagai pusat,” katanya mengeluh.
Norbaya Roy, 28, pula menceritakan bahawa struktur jalan raya disekitar kawasan perumahannya juga teruk dan tidak mendapat perhatian Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
“Di hadapan pangsapuri kami adalah rumah teres yang sentiasa mendapat bantuan jalan raya berturap sedangkan dalam kawasan perumahan kami yang dipanggil flat, jalannya berlubang-lubang,” ujarnya.
Fatin Syamimi Hashim, 28, turut memberitahu kejadian kecurian motosikal kerap kali terjadi di kawasan perumahan itu.
“Sudah banyak kali kejadian kecurian motosikal berlaku di sini. Kami berharap bagi mengatasi masalah berkenaan, mana-mana pihak yang bermurah hati dapat membiayai pemasangan pintu pagar berpalang automatik di pintu masuk utama pangsapuri kami,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











