PASIR PUTEH 17 Feb. – Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan hampir reput di kawasan paya nipah, tepi Sungai Semerak, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, seorang pencari ketam nipah yang masuk ke kawasan itu ternampak satu lembaga manusia di atas timbunan daun nipah yang sudah dipotong.
Pencari ketam yang dikenali sebagai Mahadi Ramli, 47, kemudiannya bergegas ke Balai Polis Cherang Ruku melaporkan penemuan itu.
Mahadi berkata, pada masa yang sama keluarga mangsa turut tiba ke balai polis berkenaan untuk melaporkan kehilangan seorang anggota keluarga sejak tiga hari lalu.
Ahli keluarga mangsa yang enggan namanya disiarkan mengesahkan mangsa adalah
Norzihar Ibrahim, 42, dari Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut, Terengganu.
Menurutnya, pengecaman dibuat berdasarkan sebuah motosikal yang digunakan oleh mangsa untuk ke lokasi berkenaan.
“Mangsa memaklumkan untuk ke Kampung Sungai Selut untuk mencari daun nipah bagi tujuan menahan sotong menggunakan bubu.
“Kami dapat mengenali pakaian yang dipakainya kali terakhir turun dari rumah tiga hari lepas, ” katanya.
Menurutnya, mangsa sebelum ini menghidap penyakit lelah dan lemah jantung berdasarkan ubat serta rawatan awal yang pernah diambilnya.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. – UTUSAN ONLINE










