“SEKARANG zaman moden, lelaki dan wanita sama taraf sahaja. Wanita pun boleh jadi ketua.”
Itu antara ungkapan yang sering didengar sejak dunia semakin meniti arus pemodenan dan melahirkan golongan manusia yang berfikiran terbuka atau ‘open minded’.
Jika dilihat dari satu sisi, pemikiran sebegitu tidak salah jika dipraktikkan dalam situasi yang bersesuaian seperti pekerjaan. Memang tidak disangkal, wanita pada hari ini mampu berjaya setanding lelaki.
Malah, wanita metropolitan kini ada yang menjawat jawatan besar dalam syarikat termasuk jawatan penting dalam negara.
Namun, malangnya pemikiran moden ini sering terbawa-bawa ke dalam rumah tangga sehingga muncullah episod drama ‘isteriku queen control’.
Apabila wanita berasakan mereka bukan kuli dan suami bukan raja, dia mula memerintah suami melakukan itu ini dengan cara memaksa sehingga menggores hati si suami.
Malah, ada yang melampaui batas tanpa sedar dengan mengawal segala perbelanjaan kewangan dan membelakangkan suami dalam membuat keputusan berkenaan keluarga kerana berasakan dirinya juga bijak dalam membuat keputusan.
Memberi pencerahan akan isu ini, pendakwah bebas, Muhammad Luqman Hakim Othman atau lebih dikenali sebagai Dai Hakim berkata, persepsi sesetengah pihak yang menganggap wanita dan lelaki sama taraf adalah sangat tidak relevan menurut ajaran Islam.
Menurutnya, Islam itu sendiri mengajar bahawa lelaki dan wanita dijadikan secara fitrahnya berbeza.
“Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 36 yang bermaksud: “.. dan lelaki tidaklah sama dengan perempuan…” Hal ini jelas menunjukkan bahawa lelaki dengan perempuan berbeza.
“Jadi, dalam aspek kekeluargaan khususnya rumah tangga tidak boleh disamaratakan hak antara suami dan isteri. Kerana dalam institusi rumah tangga perlu ada pemimpin dan menurut Islam pemimpin itu adalah suami,” ujarnya.
Tambahnya, dalam tidak sedar, ramai isteri menjadi derhaka kepada suami dengan bersikap dominan dan mengabaikan perintah Allah untuk mentaati serta menyenangkan hati suami selaku ‘lubuk pahala’.
Mengulas lanjut, hal ini terutama bagi wanita yang bekerjaya tinggi sehingga berasakan mereka lebih berjaya dan kaya menyebabkan hilang perasaan hormat terhadap suami.
“Bersikap queen control dan memaksa suami adalah derhaka sedangkan suami wajib ditaati selagi mana tidak bercanggah dengan agama Islam. Bahkan dalam hadis Nabi pernah bersabda maksudnya: “Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia, nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami terhadap isteri itu.” – Riwayat Ahmad (12614)
“Sebagai isteri, dosa paling besar adalah menderhaka kepada suami. Sayang sekali, kerana hakikatnya isteri sangat mudah masuk syurga selagi dia menjaga solat, puasa bulan Ramadan, jaga maruah diri dan taat pada suami, maka dia boleh masuk syurga mengikut mana-mana pintu yang dia mahu,” ujarnya.
Lebih menyedihkan apabila suami sendiri tidak mampu bersikap tegas dan membiarkan dirinya diperlakukan sebegitu oleh isteri kerana mahu menjaga hati dan sayangkan isteri.
Terutamanya suami yang mempunyai kerjaya lebih rendah berbanding isteri membuatkan mereka berasakan tidak layak untuk memimpin sehingga hubungan suami isteri menjadi semakin tersasar daripada tuntutan Islam.
Suami jangan jadi punca
Queen Control merujuk kepada isteri yang bersikap lebih dominan dalam rumah tangga iaitu isteri yang mahu menjadi ketua kepada suami serta mengongkong segala aktiviti mahu pun perbelanjaan keluarga.
Namun, ia bukanlah kesalahan mutlak yang patut diletakkan terhadap isteri semata-mata kerana boleh jadi ia berpunca daripada sikap dan perbuatan suami yang mendorong si isteri untuk bersikap dominan. Bagaimana?
Dai Hakim menjelaskan, situasi queen control terbahagi kepada dua yang kelihatan atau tidak kelihatan.
Jelasnya, situasi kelihatan dan terang-terangan sudah semestinya yang sering berlaku iaitu isteri memerintahkan suami melakukan suatu pekerjaan dan memperlakukan suami seperti ‘lembu dicucuk hidung’.
Sedangkan, situasi queen control yang tidak kelihatan pula berlaku apabila suami terlalu menyayangi isteri sehingga mendahulukan isteri dalam setiap keputusan ingin dibuat.
Hal ini sekali gus menjejaskan kredibiliti suami sebagai ketua keluarga kerana tidak mampu untuk membuat keputusan sendiri dan terlalu bergantung kepada isteri.
“Kadang-kadang suami yang melayan isterinya seolah-olah si isteri adalah queen control. Segala yang hendak dibeli, pergi bercuti, berbelanja semuanya tanya pendapat isteri sedangkan sebagai suami dia ada hak untuk buat keputusan sendiri selagi tidak mendatangkan mudarat kepada keluarga.
“Tidak salah hendak menyayangi isteri sepenuh hati, tetapi perlu diingatkan ada benda yang kita tidak perlu minta izin isteri. Sebagai ketua keluarga lelaki harus ada pendirian dan mampu membuat keputusan sendiri,” jelasnya.
Oleh itu katanya, suami memainkan peranan yang penting dalam mendidik isteri untuk menjadi solehah dan mengelakkan berlakunya situasi queen control yang boleh menggoyahkan institusi kekeluargaan.
“Jika suami rasa seperti dikawal oleh isteri, cepat-cepatlah beri nasihat dan teguran kepada isteri agar dia tidak terus tersasar jauh daripada ajaran agama.
“Nasihat dan teguran itu pula haruslah disertakan sekali dengan tindakan yang sewajarnya untuk mengajak isteri membina suasana harmoni dalam syurga rumah tangga. Contohnya, ingatkan berulang kali kepada isteri bahawa suami adalah ketua keluarga,” ujarnya.
Virus queen control seharusnya tidak wujud dalam rumah tangga, isteri dinasihatkan untuk berpegang teguh kepada ajaran agama dengan menjadi isteri yang solehah dan mentaati suami dengan sebaiknya untuk mengejar syurga Allah.
Perasaan paranoid atau syak wasangka terhadap suami harus dielakkan agar tidak menjadi isteri yang terlalu mengongkong suami dan seterusnya menjadi permaisuri sebenar-benarnya dalam hati suami.
Bukan itu sahaja, tegas Dai Hakim, wanita harus mencontohi permaisuri hati Rasulullah, Khadijah al-Khuwailid yang tidak sedikit pun menjadikan kelebihan duniawi dimiliki sebagai asbab merendah-rendahkan suami.
“Walaupun Khadijah sangat kaya dan mempunyai ramai pekerja lelaki, tetapi beliau tetap menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik kepada suami sehingga Rasulullah meletakkan Khadijah sebagai isteri paling baginda cintai,” katanya.










