PUTRAJAYA 12 Feb. – Kesemua bekas wakil rakyat UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana yakin dengan perjuangan yang dibawa Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang mewakili kumpulan berkenaan berkata, menjadi tanggungjawab mereka untuk memperkuatkan Dr. Mahathir dalam menerajui kepimpinan negara dengan cemerlang.
“Kami tadi telah diberi kuliah panjang oleh Dr. Mahathir… Kami bersyukur kerana dapat dengar amanat serta syarahan pendek beliau. Kami bersama Bersatu kerana kami yakin perjuangan dibawa oleh Tun.
“Saya pernah bawah anggota Kabinet Dr. Mahathir semasa Perdana Menteri Keempat. Tidak timbul isu rasis. Kerana di Malaysia, etnik dominan adalah Melayu bumiputera dan Tun berkuasa sebagai Perdana Menteri dan menjadi tanggungjawab kami memperkuatkan Melayu dan bumiputera,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Selain Abdul Latiff, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz turut menyerahkan borang permohonan menyertai Bersatu.
Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menerima kad keahlian Bersatu pada majlis sama.
Borang penyertaan itu diserahkan kepada Dr. Mahathir dalam satu majlis khas di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.











