KUALA NERUS 3 Feb. – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan merintis usaha
mendigitalkan manuskrip-manuskrip Islam di seluruh dunia menerusi perkhidmatan e-manuskrip yang akan dibangunkan tidak lama lagi.
Usaha itu akan meletakkan UniSZA sebagai universiti awam pertama di Malaysia yang
mengumpulkan khazanah ilmu berusia ribuan tahun oleh tokoh pendidik lampau bagi dikongsi
meluas secara dalam talian untuk faedah pelajar dan penyelidik di seluruh dunia.
Naib Canselornya yang baharu, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, projek
khas yang diilhamkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di bawah pemantauan
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik itu akan digerakkan sepasukan penyelidik UniSZA dengan
bantuan agensi dan jabatan berkaitan seperti Arkib Negara dan Perpustakaan Negara Malaysia
(PNM) di samping kerjasama universiti tertua dunia, Universiti Al-Karaouine di Morocco.
Katanya, selain boleh memanfaatkan ilmu kepada generasi akan datang, pembangunan
e-manuskrip secara tidak langsung dapat melonjakkan lagi peranan UniSZA di peringkat
antarabangsa.
“Manuskrip ini kalau kita lihat dalam bentuk tradisi, akses untuk mendapatkannya susah, terhad
dan berada di tempat yang kita tak tahu hendak capai.
“Saya pernah ke sebuah universiti di India dan menemui kitab Ibnu Sina yang telah diguna pakai
dan diterjemahkan oleh orang Barat, tetapi saya hanya dapat tengok kulitnya sahaja kerana untuk
membuka memerlukan sarung tangan dan lain-lain lagi bagi mengelakkan kerosakan,” katanya
dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Naib Canselor UniSZA yang baharu di Bangunan
Canselori di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










