BERMULA dengan menempuh jalan raya yang lurus, kemudian memasuki kawasan permukaan jalan tidak rata dan berbukit-bukau, konvoi terus bergerak perlahan. Itu antara cabaran yang dihadapi konvoi amal UMW Corporation Sdn. Bhd. (UMW) semasa menuju ke perkampungan Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.
Mujur cuaca yang panas dan kering pada hari pertama tidak terlalu menyukarkan perjalanan. Jika hujan, laluan tanah merah akan berlumpur dan keadaan itu akan memanjangkan lagi tempoh konvoi untuk tiba ke destinasi.
Dari ibu pejabat UMW yang terletak di Shah Alam, Selangor perjalanan mengambil masa lebih sembilan jam untuk sampai di kawasan perkampungan itu.
Memasuki siri keempat UMW To You (U2U), kali ini program Kembali ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi diadakan.
Program itu merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan UMW bertujuan menyerahkan bantuan kepada masyarakat kurang berkemampuan terutama mereka yang mempunyai akses terhad disebabkan kedudukan dan geografi penempatan yang terletak jauh di kawasan pedalaman.
Konvoi amal yang berlangsung selama tiga hari pada November 2018 disertai seramai 30 sukarelawan UMW (UMW Community Champions) dan 16 kru Kay Adventure. Kesemua mereka menaiki 12 buah kenderaan pacuan empat roda (4×4).
Menurut Penolong Pengurus UMW, Mohd. Reza Mokhtar, program itu diadakan bagi menyalurkan barangan kelengkapan persekolahan kepada 173 pelajar.
“Antara kelengkapan persekolahan yang disumbangkan termasuk pakaian seragam sekolah, beg galas, kasut sekolah, stoking dan alat tulis.
“Kami harap dengan bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban keluarga untuk menyediakan kemudahan kepada pelajar kurang mampu,” katanya.
Beliau turut mengharapkan sumbangan itu dapat memberi semangat baharu dan menggalakkan murid untuk terus hadir ke sekolah bagi mempelajari dan menguasai ilmu pengetahuan.
“Saya dimaklumkan sejak kejadian kehilangan tujuh pelajar Orang Asli pada 2015, masih ada keluarga berasa takut untuk menghantar anak mereka ke sekolah.
“Jadi, besarlah harapan kami supaya sumbangan ini dapat memberi dorongan dan semangat kepada pelajar untuk kembali ke sekolah seterusnya menyambung pelajaran sehingga ke peringkat univerisiti,” katanya.
Sementara itu Guru Besar SK Pos Tohoi, Mohd. Hafizan Latif mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UMW kerana sudi memberi sumbangan yang cukup bermakna buat keseluruhan pelajar di kawasan pedalaman itu.
“Sumbangan ini sangat membantu memandangkan mereka berada di kawasan pedalaman. Untuk mendapatkan pakaian dan kelengkapan persekolahan memang sukar kerana mereka perlu keluar ke bandar.
“Kebanyakan pelajar di SK Pos Tohoi mempunyai latar belakang keluarga yang susah. Jika dilihat tahap ekonomi dan pekerjaan ibu bapa mereka, boleh dikatakan keluarga ini berada dalam kategori miskin.
“Justeru, pihak sekolah mengharapkan program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia sangat membantu,” katanya.










