UMS perbaharui kerjasama dengan SIL, pelihara bahasa etnik Sabah - Utusan Malaysia

UMS perbaharui kerjasama dengan SIL, pelihara bahasa etnik Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 20 Feb. – Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini memperbaharui kerjasama dengan Summer Institute of Linguistics (SIL) Malaysia, sebuah organisasi yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan mapan bidang linguistik, selama lima tahun hingga 2022.

Kerjasama itu dimeterai menerusi satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMS yang diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Rasid Mail dan Pengarah SIL Malaysia Dr Timothy C. Philips. Kerjasama pertama dimeterai pada 2012.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata Pusat Penataran Bahasa dan Ilmu (PPIB) diberi tanggungjawab untuk mentadbir, menyelia, menyelaras dan bersama-sama mengambil bahagian dalam kerjasama antara UMS dan SIL.

Beliau berkata kerjasama antara dua pihak itu selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi yang mana PPIB dan SIL berjaya membawa kepakaran kedua-dua pihak menerusi pelbagai usaha yang dilaksanakan sepanjang tahun.

“Pembaharuan MoU ini bertujuan menyatukan kepakaran daripada SIL untuk mengajar kursus peringkat sarjana dan pascasiswazah di UMS,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Rasid di sini.

Beliau berkata penerbitan artikel penyelidikan bersama mengenai bahasa dan linguistik Sabah merupakan satu lagi matlamat utama yang ditetapkan dalam pembaharuan kerjasama kali ini.

Sementara itu, Philips berkata pihaknya menawarkan latihan guru dan pembangunan kurikulum untuk pendidikan pelbagai bahasa dalam tugas-tugas warisan bahasa, kurikulum etnik dan kelas tambahan bahasa komuniti tempatan.

“Ia termasuk bahasa Tobilung, Kimarang, Rungus, Dusun, Bundu, Dusun Labuh, Sungai Makiang, Sungai Kalabuan, Murut Tahol, Lotud dan Iranun,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN